KOTA BHARU - Pas membayangkan Kerajaan PH yang ditadbir Tun Dr Mahathir Mohamad tidak mustahil akan runtuh dalam tempoh lima tahun.

Naib Presidennya, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, andaian berkenaan tidak dilihat kejam memandangkan pergolakan yang dialami kini jelas menunjukkan ketidakpersefahaman antara gabungannya.

Menurutnya, pertelagahan yang berlaku dalam keluarga PH setelah memerintah Malaysia dalam tempoh tujuh bulan pertama ini berlaku disebabkan parti gabungan mempunyai matlamat tersendiri untuk dicapai.

“Saya malas masuk campur tetapi pergolakan mereka serius kerana tidak ada persefahaman. Persepakatan mereka sebelum PRU14 lalu dibuat semata-mata untuk tumbangkan BN sahaja. Itu masalahnya.

“Kalau PH dapat bertahan memerintah lima tahun ini pun dah kira nasib baik,” katanya kepada media ketika ditemui di pejabatnya di Kompleks Kota Darul Naim, semalam.

Selain itu, Timbalan Menteri Besar Kelantan itu juga berpendapat, percanggahan yang boleh menjadi barah di dalam Kerajaan PH  itu berlaku kerana ketidakmampuan menyelaras matlamat bersama.

Perpecahan dalaman itu juga jelas dilihat dengan munculnya kenyataan terbaru daripada Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang, yang mengatakan DAP tidak teragak-agak keluar dari PH, Rabu lalu.

Sementara itu, mengulas mengenai desakan Ketua Armada Bersatu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman agar Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy meletakkan jawatan, Mohd Amar berkata, ia sangat tepat dan selari dengan tuntutan banyak pihak.

Beliau berkata, usul itu telah diperjelaskan oleh Pas Kelantan sebelum ini yang mahu Moorthy bertanggungjawab dan meletak jawatan kerana telah menimbulkan pelbagai isu yang menggores hati rakyat.

Kenyataan dan tindakan Menteri Perpaduan itu yang sebelum ini menyentuh mengenai isu perkauman seperti penindasan terhadap orang India dan insiden di Kuil Sri Maha Mariamman telah membangkitkan kemarahan banyak pihak.