KUALA LUMPUR - Ketua PKR Cabang Batu, Tian Chua, memberi tempoh 24 jam kepada Ahli Parlimen Batu, P.Prabakaran dan Rozan Azen Mat Rasip untuk menarik balik kenyataan dikeluarkan berhubung perbalahan yang berlaku dan mengarahkan kedua-dua mereka memohon maaf antara satu sama lain.

Beliau dalam satu kenyataan menyatakan rasa dukacita terhadap isu perbalahan berkenaan yang disifatkan bukan saja memburukkan imej parti di Parlimen Batu, tetapi juga menjejas mutu perkhidmatan kepada pengundi awam dalam kawasan Batu.

"Saya sangat dukacita dengan peristiwa perbalahan antara Rozan dan Praba baru-baru ini. Sehingga kini saya tidak sebarang komenta tetapi tidak bermaksud saya tidak mengambil tahu. Saya meletakkan kepercayaan penuh kepada pasukan yang menguruskan gerak kerja pejabat parlimen.

"Kami di Batu ini telah melalui proses perjuangan yang cukup panjang dan pelbagai masalah. Sudah tentu perbedaan pandangan dan ketegangan adalah tidak boleh dielakkan. Untuk menjaga prestasi parti, semua anggota harus tegas menangani permasalahan secara rasional dan matang," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah bekas Ahli Parlimen Batu itu, kelmarin beliau juga telah menegur Rozan kerana menyifatkan tindakan Rozan menyebarkan WhatsApp perletakan jawatan secara terbuka tanpa perbincangan dengan beliau adalah tidak wajar.

"Sebagai ketua cabang, saya juga sudah nasihatkan beliau tidak keluar sebarang kenyataan lanjutan. Namun malangnya satu lagi kenyataan akhbar dikeluarkan lagi oleh Prabakaran pula.

"Pada pandangan saya kenyataan tersebut mengandungi bahasa yang sangat tidak sopan. Saya boleh maafkan beliau kerana kemungkinan ahli parlimen kita masih muda.

"Dengan dukacita dan secara tegas saya arahkan kedua-dua pihak Rozan dan Prabakaran untuk hentikan segala penyibaran mesej tentang perkara ini sama ada dalam media atau WhatsApp. Kedua, Rozan dan Praba diberi 24 jam untuk tarik balik kenyataan-kenyataan yang disiarkan sebelum ini dan memohon maaf kepada satu sama lain," katanya.

Beliau juga menegaskan tidak mahu perkara berkenaan berulang.

"Mohon semua ahli jawatankuasa dan anggota cabang menyokong pendirian saya. Tamatkan semua perselisihan secara publik serta merta," katanya.