KOTA BHARU – Naib Ketua PKR Cabang Ketereh, Mohd Sukirman Mustapa menyerahkan isu pelantikan Mohamad Suparadi kepada peguam.

Mohd Sukirman berkata, beliau mengambil pendekatan berdiamkan diri dan hanya akan mengeluarkan kenyataan selepas mendapat nasihat daripada peguam.

Menurutnya, keputusan itu juga diambil bagi menghormati Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya tidak berlaku sebarang pergolakan dalam PH.

“Saya menerima maklum dan ambil teguran presiden supaya tiada provokasi dalam parti.

“Saya juga harap semua pihak mengambil pendekatan sama dan menghormati Presiden,” katanya.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan dua ketua cabang dan bekas ketua cabang termasuk Mohd Sukirman diberi pilihan sama ada memohon maaf secara terbuka atau tindakan saman dikenakan atas dakwaan menjatuhkan reputasi PKR Kelantan.

Suparadi memberi masa sehingga lusa untuk mengemukakan permohonan maaf berkenaan berikutan kredibilitinya selaku pemimpin politik dan ahli perniagaan terjejas.