KUALA LUMPUR - Kerajaan PH diingatkan agar lebih berhati-hati dan tidak sewenang-wenangnya mengubah pendidikan sedia ada sebaliknya perlu fokus membela rakyat dan menunaikan janji diungkapkan dalam PRU14.

Peringatan itu disuarakan Ketua Puteri Umno, Datuk Zahida Zarik Khan yang hairan dengan cara pentadbiran kerajaan baru pimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menurutnya, kerajaan terlalu banyak menyentuh dan mahu mengubah bab berkaitan agama dan bangsa Melayu meskipun baru tujuh bulan memerintah.

“Adakah ini baik untuk Malaysia Baharu? Cadangan atau keputusan ia tetap sesuatu yang amat tidak wajar kerana pada saya kehidupan ini perlu seimbang antara duniawi dan ukhrawi.

“Manusia yang lengkap adalah manusia baik peribadi, berakhlak mulia dan faham agama yang mengawal emosi kita, sementara ilmu sains dan siasah adalah untuk membentuk hala tuju hidupnya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Dr Mahathir dalam laporan media mengatakan kurikulum di sekolah perlu beri penekanan untuk kuasai subjek lain dan tidak memberi tumpuan kepada subjek agama semata-mata.

Tambah Zahida, beliau tidak faham mengapa Ahli Parlimen Langkawi itu mengeluarkan kenyataan sebegitu seolah-olah mahu mengubah sistem pembelajaran sedia ada.

“Bukan ke arah kebaikan, tapi pada saya ke arah lebih negatif, apabila kurikulum subjek agama mahu dikurangkan,” ujarnya.

Jelasnya lagi, pendidikan agama sangat penting kerana ia akan membentuk akhlak pelajar agar tidak mudah terpengaruh dengan gejala sosial

“Pembelajaran agama juga yang akan membentuk akhlak murid murid agar tidak mudah terpengaruh dengan gelaja sosial, lebih lebih lagi di zaman IT tanpa sempadan hari ini,” katanya.