SHAH ALAM - Perwakilan dan pembahas pada Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu diseru menggunakan platform ini sebagai tempat untuk menyuarakan pandangan kepada parti.

Ahli Majlis Tertinggi Bersatu, Abu Bakar Yahya berkata, inilah masa yang paling sesuai untuk memberikan cadangan dan pandangan selepas hampir dua tahun ditubuhkan.

"Selalunya ahli hanya menggunakkan media sosial memberikan pandangan atau luahan, ia tidak sampai kepada kepimpinan.

"Jadi inilah masa yang sesuai, semua pemimpin ada ketika ini. Berkongsilah buah fikiran agar dapat digunakan untuk kebaikan parti," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu kali kedua ini berlangsung selama tiga hari bermula hari ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Seramai 1,600 perwakilan dijangka akan menghadiri perhimpunan yang bakal dirasmikan Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Katanya lagi, lanskap politik hari ini menuju kepada politik matang dan lebih terbuka.

"Bukan lagi politik tradisional, lanskap dan demografi politik telah berubah, suasana ini memaksa kita bergerak pantas.

"Kita harus melihat ke hadapan untuk kepentingan rakyat Malaysia dan jangan kita ulangi kesilapan BN hingga rakyat menolak mereka dalam pilihanraya," katanya.