KUALA LUMPUR - 'Peperangan' terbuka sesama sendiri antara pemimpin PH kebelakangan ini mendapat teguran Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam satu kenyataan media hari ini, Ahli Parlimen Port Dickson itu mahu situasi tersebut dihentikan segera.

"Perbalahan terbuka sama ada di antara atau di dalam parti perlu dihentikan segera. Pada masa yang sama, saya gesa agar muafakat PH diperkukuh melalui saluran parti.

"Rakyat sentiasa memerhati kita, dan kita punyai ruang dan peluang yang sedikit sahaja untuk membuktikan PH benar-benar mampu merubah nasib rakyat dan negara," katanya.

Katanya lagi, pemimpin-pemimpin perlu meredakan suasana dan mengelak daripada kenyataan-kenyataan negatif.

"Dalam suasana sedia ada, memahami keadaan kos sara hidup yang terus membelenggu rakyat, saya menggesa agar semua pemimpin PH memberikan tumpuan khusus ke arah menjana pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan keselesaan rakyat," katanya.

Sebelum ini, timbul perbezaan pendapat antara pimpinan PH dalam isu desakan peletakan jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy.

Antaranya, ialah perbalahan melibatkan Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy dan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Selain itu, Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik juga diserang pemimpin DAP di Sarawak susulan kenyataannya mengenai dakwah guru agama di Sabah dan Sarawak.