PETALING JAYA - Pas disifatkan sebagai iri hati dengan pentadbiran kerajaan PH sekarang, kata Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Katanya, sebab itulah parti Islam itu menuduh yang bukan-bukan terhadap kerajaan PH.

"Ini termasuk 'riwayat hidup' kerajaan PH hanya dalam tempoh lima tahun. Biasalah dia (Pas) pembangkang dan Pas akan jadi pembangkang selama-lamanya.

"Kita yang pernah jadi pembangkang dahulu dan saya pernah kata ketika itu, saya tak nak jadi pembangkang lama Alhamdulillah, ALLAH bagi laluan dan menang menjadi kerajaan jadi Pas iri hati dengan kita," katanya kepada media dalam wawancara khas bersamanya di ibu pejabat Bersatu, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kritikan Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Abdullah yang membayangkan kerajaan PH yang ditadbir Tun Dr Mahathir Mohamad tidak mustahil akan runtuh dalam tempoh lima tahun.

Mohd Amar berkata, andaian berkenaan tidak dilihat kejam memandangkan pergolakan yang dialami kini jelas menunjukkan ketidakpersefahaman antara gabungannya.

Menurutnya, pertelagahan yang berlaku dalam keluarga PH setelah memerintah Malaysia dalam tempoh tujuh bulan pertama ini berlaku disebabkan parti gabungan mempunyai matlamat tersendiri untuk dicapai.

Katanya lagi, kalau PH dapat bertahan memerintah lima tahun ini pun sudah di kira bernasib baik.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, Pas sebuah parti yang ego, meskipun pernah diajak untuk bersama-sama dalam PH.

"Kita pernah runding dengan mereka sertai kita, Pas tak nak pasal perjuangan mereka Islam, perjuangan kita lebih daripada Islam... bukan lebih Islam macam mana, maknanya hendak bentuk kerajaan yang lebih baik, menolak rasuah, bina masa depan yang lebih cerah, mengurus ekonomi dengan lebih baik, semuanya Islam.

"Jadi saya jangka andaian kata kita hanya bertahan lima tahun itu tidak tepat, pasal kalau lihat realitinya di mana Umno sekarang, di mana BN kini, tinggal nama sahaja daripada beberapa puluh anggota tinggal tinggal dua sahaja, itu pun tidak bermaya," katanya.