SHAH ALAM - Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusof mengingatkan semua pihak dalam PH  agar mempertahankan konsep Malaysia Baharu.

Ini kerana tegasnya, konsep tersebut lebih besar untuk dipertahankan daripada kepentingan kepartian mahupun kepentingan diri.

"Jauhi juga kehendak penentang Malaysia Baharu yang mahukan pimpinan PH hilang kepercayaan sesama mereka.

"Pada waktu yang sama kita mesti cemburu kepada mereka yang mahu merosakkan Malaysia baharu dari dalam. Wajarnya Malaysia Baharu adalah benteng terakhir seluruh rakyat Malaysia," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Berikut kenyataan penuh beliau:

1. Sejak gelombang reformasi hujung 90-an tercetus telah dijangkakan satu era baharu bakal akan terbentuk dan 20 tahun kemudian ia menjadi kenyataan dengan terbentuknya kerajaan PH pada Mei 2018.

2. Lapan belas tahun bukanlah satu jangkamasa yang pendek, ia telah memakan banyak masa, tenaga dan pengorbanan khususnya mereka yang terpenjara seperti DSAI demi harga sebuah perjuangan.

3. Penyertaan Tun M dalam gelombang besar reformasi adalah kejayaan kepada kehendak perubahan yang selama 20 tahun didengung dan digaungkan oleh para reformis. Lahirnya Amanah, Bersatu dan Warisan bukan antithesis kepada gelombang ini tapi memperkukuhkan kedudukan era baharu yang ditunggu-tunggu.

4. Nama Malaysia Baharu bukan terasing dari pakej era reformasi tapi adalah rejuvenasi kepada makna kesungguhan membina-semula negara agar lebih realistik dan menyentuh denyut dan nadi rakyat membawa mereka kepada era baharu negara dari sudut falsafah dan kebajikan rakyat.

5. Ada dua faktor kemunculan Malaysia Baharu, pertama asakan dan desakan gelombang reformasi dan kedua, fasa order lama telah tamat hasil kebobrokan dan kefasadan pemerintahan BN. Pertama adalah usaha para pejuang yang berpegang kepada prinsip manakala ke dua adalah faktor kerosakan dari dalam BN/Umno yang mempercepatkan proses perubahan kerajaan.

6. Tidak ada pihak yang boleh mendakwa gelombong ini miliknya mahupun sesiapa jua apatah lagi individu tertentu sebab ia adalah era yang diperlukan untuk meneruskan kesinambungan kebangkitan sesebuah negara. Tokoh dan kelompok mahupun parti politik hanya berkhidmat untuk menyusun perubahan ini dan hanya fasilitator kepada kebangkitan baharu.

7. Dua dekad juga sarat dengan pembentukan ide dan gagasan baharu mencabar status-quo. Hari ini ramai tidak sedar ungkapan, pemikiran dan tindakan mereka gagal memahami hasrat ide yang telah terbentuk sekian lama oleh pemikir, penulis dan aktivis reformasi. Sebahagian mereka tidak ada semasa ide baharu ini dilontarkan dan sebahagian mereka hari ini tidak menghayati susah dan sukarnya untuk menerobos ke dalam pemikiran rakyat.

8. Cuba kita mengimbau lebih 2 dekad yang lalu, kita telah gagaskan dalam Kerangka Perjanjian Bersama bahawa asas negara ini Islam, Melayu dan Raja-raja Melayu tetap menjadi teras tertegaknya perubahan politik baharu. Namun apabila kita diuji dengan permainan sentimen seperti sensitiviti Melayu, Islam dan Raja-raja Melayu yang dimainkan pihak lawan, ternyata kita masih gagal memahami apa yang pernah kita meterai bersama.

9. Isu ICERD sebagai contohnya menjadi bukti bahawa kita masih dalam budaya pemikiran terkepung atau 'seige mentality'. Kerajaan telah menetapkan tidak akan meratifikasi ICERD dan keputusan ini kita dokong secara bersama. Namun penting juga bagi kita menjelaskan kepada semua tentang ide baharu mempertahankan teras Islam, Melayu dan Raja oleh PH. Jika dalam semua hal kita bersifat apologetic dengan tekanan dan desakan pihak lawan, bilakah lagi peluangnya untuk kita menterjemah dan memperkenalkan ide yang telah kita yakini baik untuk membina Malaysia baharu dengan teras Islam, Melayu dan Raja-raja Melayu.

10. Ide dan gagasan perpaduan nasional juga telah digarap sejak era reformasi lebih tiga dekad yang lalu tentang komitmen kita kepada mengekalkan acuan kepelbagaian sepertimana asas pembentukan negara oleh pendiri negara ini. Ide terbesar mencetuskan kebangkitan rakyat ialah ciri 'tanpa perkauman sempit' gagasan reformis. Segala tindakan, manifesto 2 dekad ide baharu menegaskan komitmen anti-perkauman sempit yang menjadi 'teriakan perang' era BA, PR dan kemudian PH.

11. Malaysia 'tanpa-prejudis kaum' adalah laungan di jalan raya dalam perhimpunan Bersih 1-5, begitu juga dalam segala perhimpunan politik hampir setiap malam selama berdekad. Ide era baharu terbentuk sejak dulu lagi menentang politik perkauman Umno. Antara yang 'melambatkan' perubahan ialah ketegasan ide baharu mempertahankan bahawa kita tidak akan tunduk kepada 'godaan' sentimen sempit perkauman dan agama. Sejak dulu kita tidak pernah berniat untuk bersaing atas premis yang merosakkan perpaduan negara ini.

12. Kita diuji dengan pencerobohan dan rusuhan kuil di Seafield dalam mempertahankan asas dan ide perpaduan nasional baharu. Sesetengah daripada kita hari ini gagal memahami penghayatan ini apabila turut terikut-ikut menari mengikut rentak penentang Malaysia baharu. Sebahagian kita hilang fokus kepada asas bahawa kita seharusnya menentang penceroboh kuil dan perusuh yang memangsakan Adib dan bukan membenci kepada sesuatu kaum itu atau orang tertentu atau agama tertentu. Gagasan ide ini menjadi asas tertegaknya perjuangan Malaysia Baharu sejak 2 dekad yang lalu.

13. Kita pernah mempertahankan isu kalimah ALLAH sejak 2009 atas asas objektiviti dan bukan kebencian agama walaupun terpaksa berhadapan dengan kesukaran mempertahankan objektiviti ini. Begitu juga ide baharu menganjurkan jangan mengheret kaum tertentu hanya perbuatan jahat individu dalam kaum tersebut. Kita menentang amalan yang merugikan sesebuah masyarakat tak kira dari kaum mana mereka termasuk orang Melayu. Kita menentang rasuah dari kalangan pemimpin Melayu bukan menentang orang Melayu begitulah dengan perasuah berbangsa Cina mahupun India bukan membenci semua kaum India atau Cina.

14. Dari sudut keterbukaan, sejak berdekad lamanya perjuangan ide baharu menolak ketaksuban kepartian atau platform kerana meyakini parti dan platform adalah jalan mencapai makna yang lebih besar untuk menegakkan prinsip keadilan dan kemanusiaan. Bukan hari ini kita dibanjir oleh ahli baru dan wajah-wajah baru samada dari yang berjawatan atau bekas yang berjawatan dari parti lawan kita.

15. Asasnya mudah, selagi mereka menerima gagasan baharu dan apa yang diperjuangkan oleh ide-ide politik baru, itulah syaratnya untuk diterima. Semasa pembentukan PH dan kemudian PH+Bersatu dan akhirnya PH yang berjaya dibentuk gabungan 4 parti semuanya atas perjanjian yang jelas membuka kepada kemunculan politik baharu.

16. Hari ini PH diuji dengan banjiran bekas Umno menganggotai salah satu parti komponennya. Mengapa panik? Bukankah keterbukaan menerimanya adalah tertakluk kepada ide gagasan dan politik baharu? Atau apakah kita hilang kepercayaan kepada rakan komponen kita? Mungkin kita tidak jelas apakah penghijrahan ini memperkukohkan parti komponen atau PH?

17. Sepatutnya kita bertanya apakah banjiran ini memperkukuhkan ide Malaysia baharu atau tidak? Malaysia Baharu adalah lebih besar dari parti komponen mahupun PH sendiri. Malaysia Baharu perlu dipertahankan dengan desakan ide baharu dan gagasan baharu. Ia menjadi kayu pengukur kepada pelebaran kuasa PH, jika tidak, betapa pun banjiran dari Umno, MCA atau MIC sekalipun tidak akan membawa pengukuhan Malaysia baharu jika ide-idenya terbantut dan disabotaj oleh rakan komponennya sendiri.

18. Kita tidak mampu menyekat mana-mana komponen parti berkembang tetapi kita ada segala hak untuk meletakkan gagasan Malaysia Baharu sebagai penentu kepada mana-mana elemen baharu yang masuk pasca PRU ke 14. Malaysia Baharu adalah tuntutan rakyat dan mereka yang meletakkan kita berhak mempersoalkan kepentingan dan keutamaan politik baharu. Selagi ruang Malaysia Baharu dipermudahkan laluannya tiada siapa berhak disekat tetapi jika ruang ini disempitkan dengan saki-baki ide ke belakang maka semua komponen berhak bersuara atas nama Malaysia Baharu.

19. Malaysia Baharu lebih besar untuk dipertahankan daripada kepentingan kepartian mahupun kepentingan diri. Ini termasuk perasaan kita kepada dinamika di sekeliling dengan landskap baharu. Kita terpaksa 'telan' semua perasaan dengan matlamat yang jelas untuk mempertahankan ide Malaysia Baharu.

20. Jauhi sama sekali perbalahan dalaman dalam membawa ide dan gagasan Malaysia Baharu. Jauhi juga kehendak penentang Malaysia Baharu yang mahukan pimpinan PH hilang kepercayaan sesama mereka. Pada waktu yang sama kita mesti cemburu kepada mereka yang mahu merosakkan Malaysia Baharu dari dalam. Wajarnya Malaysia Baharu adalah benteng terakhir seluruh rakyat Malaysia.