PETALING JAYA - Bersatu mengambil pendekatan berhati-hati sebelum memutuskan untuk melebarkan pengaruh parti itu ke Sabah.

Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata , ini kerana kerajaan PH telah membuat penjanjian dengan parti Warisan sebelum ini.

"Saya dah jumpa Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, kita kata janji dulu tak akan kembang sayap di Sabah pasal kita nak Warisan menaungi rakyat di Sabah.

"Dan strategi kita betul lepas (itu) kita menang. Tanpa kita mereka pun menang. Kita tak bertembung dan kita berjaya," katanya dalam wawancara khas bersama media di ibu pejabat Bersatu di sini, hari ini.

Muhyiddin berkata demikian mengulas mengenai permintaan rakyat Sabah yang mahu menyertai Bersatu, meskipun parti itu tidak mempunyai sebarang bahagian di negeri berkenaan.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata beliau pernah memberitahu Mohd Shafie bahawa tiada pertembungan pertandingan antara PH dan Warisan di Sabah.

"Saya beritahu Shafie, awak runding dengan mereka dulu. Kalau awak semua ini boleh masuk Warisan, selesai supaya tak ada pertembungan parti kita dan parti-parti pro-Harapan," katanya lagi.

Sebelum ini, Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Bersatu berpegang teguh kepada janjinya untuk tidak melebarkan sayap ke Sabah.

"Tidak. Kita tidak akan ke Sabah," katanya.

Bagaimana pun katanya, rakyat negeri itu bebas memilih sebarang parti.

"Mereka boleh pilih mana- mana parti," katanya.