SHAH ALAM - Bekas Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar hari ini secara sinis memerli pemimpin Umno yang keluar parti menyertai Bersatu.

Melalui laman Instagramnya, Ahli Parlimen Rembau itu memuat naik gambar beliau bersama basikal di hadapan Pusat Khidmat Ahli Parlimen Langkawi.

Khairy menulis ayat berbentuk sarkastik, ditujukan khas kepada bekas rakas seperjuangan dari Umno yang menyertai Bersatu, baru-baru ini.

Lenggok bahasa yang digunakan juga menyamai ‘Warkah dari Cordova untuk Nurul Izzah’, tulisan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof yang menggunakan istilah ‘kekanda’ dan ‘adinda’.

“Ke hadapan nenekanda Tun (Tun Dr Mahathir Mohamad) , Cucunda mai dari jauh nak serah borang. Kalakian harapan tinggi bersalaman nenekanda Tun.

“Namun, bagai kaca terhempas ke batu nenekanda Tun bercuti hari ini. Terus tak jadi,” tulis Khairy.

Baru-baru ini, sebahagian besar pimpinan tertinggi Umno Sabah keluar parti kerana tidak yakin dengan hala tuju parti selepas tewas pada PRU14 lalu.

Susulan itu, enam lagi Ahli Parlimen Umno keluar parti iaitu Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid; Ahli Parlimen Mersing, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad; Ahli Parlimen Tasik Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya; Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Ahli Parlimen Sabak Bernam, Datuk Mohamad Fasiah Mohd Fakeh dan Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz.