KOTA BHARU - Bukan satu penipuan, tapi masih ada janji yang belum lagi dilaksanakan kerajaan, termasuklah apa yang ada dalam manifesto PRU14 baru-baru ini.

Pengerusi Pakatan Harapan Kelantan, Senator Datuk Husam Musa berkata, tuduhan ‘menipu’ yang dilemparkan pembangkang sangat serius dan bukanlah satu mainan politik semata-mata.

“Rumah saya tiada air selama tiga hari. Sedangkan jarak rumah dengan tangki air hanya lebih kurang 400 meter sahaja. Tapi air tidak ada, saya tak kata pun kerajaan negeri penipu.

“Tidak semestinya apa yang kerajaan belum laksanakan itu adalah penipuan. Kenapa Mohd Amar (Abdullah) tidak tengok apa yang kerajaan sudah lakukan?

“Umpamanya mendedahkan skandal 1MDB sebelum ini dan kes Tabung Haji. Kalau harapkan Pas, rakyat tidak akan tahu tentang skandal ini,” katanya kepada media di sini.

Beliau berkata, dengan tindakan sekongkol ini, amat mustahil untuk Pas mendapat kuasa di Malaysia dalam tempoh dekat.

“Mohd Amar perlu ramal masa depan Pas, bukan masa depan orang lain,” ujarnya.

Terdahulu, Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, pemimpin PH umpama tidak fikir secara mendalam ketika membuat manifesto, sedangkan ia boleh menjadi punca kejatuhan mereka.

Katanya, Pas lebih rela bertindak sebagai pembangkang daripada menjadi kerajaan yang penuh dengan janji palsu.

Menurutnya, rakyat mengambil masa selama 60 tahun untuk menjatuhkan BN namun tidak sampai enam bulan, rakyat sudah mencemuh kerajaan baharu PH.