KUALA LUMPUR - Bersatu yang bakal mengadakan perhimpunan agung kali kedua hujung minggu ini, dilihat mampu menjadi sebuah parti lebih dominan untuk mewakili kaum Melayu dan Bumiputera pada masa hadapan.

Ketua Penerangan Bersatu, Dr Mohd Radzi Md Jidin yakin Bersatu akan menjadi pilihan utama berbanding Umno dan Pas dalam memperjuangkan hak istimewa kaum Melayu dan Bumiputera seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan tanpa mengetepikan hak kaum lain di negara ini.

"Orang Melayu akan melihat kami sebagai parti yang dapat terus membantu mereka… orang Melayu melihat Bersatu sebagai alternatif yang ada buat mereka. Dinamik politik semasa menunjukkan ramai orang Melayu kini bersedia untuk bersama dengan Bersatu," katanya.

Dalam temu bual bersama media menjelang perhimpunan agung itu, Mohd Radzi berkata ini berlaku kerana ramai yang menganggap Umno tidak lagi mampu memainkan peranan tersebut.

Malah, katanya, Bersatu menjadi tumpuan kerana ia bersama PH dalam memperjuang prinsip menentang amalan rasuah di samping menekankan aspek tadbir urus yang baik untuk membawa Malaysia menjadi negara berjaya. 

Mohd Radzi berkata, prinsip seumpama itu diabaikan kerajaan terdahulu yang sekali gus terpalit dengan pelbagai skandal termasuk melibatkan institusi orang Melayu sehingga menghakis kepercayaan mereka terhadap kerajaan itu.

"Bersatu akan jauh lebih baik daripada Umno. Ia bukan untuk menggantikan (Umno), kami akan lakukan jauh lebih baik daripada mereka," katanya.

Perhimpunan agung yang pertama Bersatu selepas PH menerajui kepimpinan negara bakal dihadiri kira-kira 3,000 perwakilan daripada semua peringkat, melibatkan 135 bahagian di seluruh negara dengan 98 bahagian sayap Srikandi dan 115 sayap Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).

Perhimpunan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya itu akan dimulakan dengan perasmian sayap Srikandi dan Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) pada sebelah malam 28 Disember sebelum perhimpunan kedua-dua sayap berkenaan pada keesokannya.

Perdana Menteri merangkap Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad dijadual merasmikan Perhimpunan Agung Bersatu pada sebelah malam 29 Disember.

Dalam pada itu, Mohd Radzi berkata, isu 'lompat parti' selain agenda pembangunan Bumiputera dijangka mendapat perhatian perwakilan pada perhimpunan agung itu.

Beliau berkata, perwakilan diberi kebebasan untuk membahaskan isu berkenaan susulan dinamik politik semasa yang menyaksikan bekas anggota dan pemimpin Umno mahu menyertai Bersatu. 

"Kita serahkan kepada jurucakap (perwakilan) untuk berbahas dan tidak dapat tidak, ia (isu lompat parti) akan disentuh," kata Mohd Radzi.

Beliau bagaimanapun mahu perbahasan mengenai perkara itu dibuat dengan rasional dengan jurucakap perlu memikirkan setiap sudut termasuk agenda pengembangan parti.

Mohd Radzi turut menegaskan permohonan penyertaan bekas anggota Umno akan dikaji secara mendalam oleh Bersatu sebelum diluluskan demi menjamin integriti dan imej parti.  - Bernama