KOTA BHARU - Seramai 11 daripada 14 ketua PKR cabang Kelantan memberi sokongan kepada Pengerusi PKR Kelantan, Datuk Mohamad Suparadi Md Nor.

Ketua PKR Cabang Pasir Puteh, Ismail Mohamad berkata, bilangan sokongan meningkat berbanding lapan undi ketika pemilihan Majlis Pimpinan Negeri (MPN) yang lalu.

Menurutnya, tiga yang lain iaitu Ketua PKR Cabang Ketereh, Kubang Kerian dan Rantau Panjang belum menyatakan sokongan terhadap Mohamad Suparadi.

Katanya, pihaknya mengambil keputusan menyokong berdasarkan tiga kriteria iaitu hubungan baik Mohamad Suparadi dengan kerabat Diraja Kelantan, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Mereka yang tak sokong itu golongan minoriti, tak lebih kepada macai-macai yang sengaja nak jatuhkan parti.

“Segelintir daripadanya merupakan bekas ahli Umno, masuk PKR tapi masih ada hasad dengki terhadap kestabilan PKR Kelantan,” katanya dalam sidang media bersama 100 ahli dan pemimpin PKR Kelantan, semalam.

Ismail berkata, kepincangan dalam parti menyebabkan PKR ketinggalan berbanding parti lain dalam PH.

Sedangkan katanya, PKR di Kelantan mempunyai bilangan ahli teramai iaitu lebih 48,000 ahli.

Jelasnya, Pas dan Umno di Kelantan tidak sekuat yang disangka, namun kegagalan tadbir urus PKR menyebabkan parti itu kelihatan lemah.