AUTA

SHAH ALAM - Dakwaan mengatakan Universiti Teknologi Mara (UiTM) telah menerima arahan bagi pengambilan pelajar dibuka kepada semua kaum tular di media sosial.

Tangkap layar WhatsApp itu turut menyebut tiada lagi kelebihan untuk orang Melayu kerana kadar yuran yang dikenakan di institut pengajian tinggi (IPT) berkenaan sama seperti universiti awam lain.

"Tiada tempat khas untuk pelajar Melayu dan tiada yuran RM800 lagi, nak ambil diploma mesti ada RM27,000," katanya.

FAKTA

Berdasarkan semakan, dakwaan tersebut tidak benar dan ia telah diulang siar di media sosial.

Perkara tersebut juga telah dinafikan oleh Naib Canselor UiTM, Prof Emeritus Datuk Seri Dr. Hassan Said yang mengatakan pihaknya tidak menerima arahan untuk membenarkan pelajar bukan Bumiputera menyambung pengajian di dalam institusi tersebut.

Beliau menegaskan, UiTM akan terus memperkasakan agenda Bumiputera dan tidak akan mengubah dasar-dasar yang dilaksanakan sebelum ini.

“Ini berita palsu dan tiada apa-apa perubahan dalam dasar UiTM malah kita juga tidak menerima arahan baharu.

“Sebaliknya kita akan terus memperkasakan agenda Bumiputera,” katanya.