NEW YORK – AMERIKA SYARIKAT. Tun Dr Mahathir Mohamad menempelak kerajaan Myanmar berikutan pembunuhan beramai-ramai etnik Rohingya di Rakhine.

"Saya percaya untuk tidak campur tangan dalam hal ehwal dalaman sesebuah negara. Tetapi adakah dunia melihat pembunuhan beramai-ramai sedang dilakukan dan tidak berbuat apa-apa?

"Negara-negara adalah bebas. Tetapi adakah ini bermakna mereka mempunyai hak untuk membunuh beramai-ramai rakyat mereka sendiri, disebabkan mereka (negara yang) bebas,” katanya dalam pernyataan kepada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ke-73 di sini pada Jumaat.

Perdana Menteri berkata tindakan kerajaan Myanmar itu yang telah dinafikan Aung San Suu Kyi mengakibatkan kehilangan nyawa, kemusnahan rumah kediaman dan perpindahan penduduknya.

"Di Myanmar, umat Islam di negeri Rakhine sedang dibunuh, rumah mereka dibakar dan berjuta-juta pelarian terpaksa menyelamatkan diri, lemas di lautan yang luas, berteduh  di pondok sementara, tanpa air atau makanan, tanpa sanitasi walau yang paling primitif sekalipun. Namun pihak berkuasa Myanmar termasuk Pemenang Hadiah Keamanan Nobel menafikan perkara ini berlaku, " katanya.

Dr Mahathir turut membidas amalan dwistandard negara kaya dan berkuasa yang bercakap tentang kepentingan perdagangan bebas tetapi pada masa sama mengeksploitasi terma perdagangan di mana negara miskin tidak lagi bebas.

"Perdagangan bebas bermakna tiada lagi perlindungan oleh negara kecil terhadap industri muda mereka. Mereka mesti menggugurkan halangan tarif dan membuka negara mereka kepada serangan produk negara kaya dan berkuasa,” katanya.

Dr Mahathir berkata minyak sawit Malaysia berdepan boikot dan dilabelkan sebagai membahayakan kesihatan selain dituduh memusnahkan habitat haiwan manakala produk makanan keluaran negara kaya diisytiharkan sebagai bebas minyak sawit.

"Tetapi produk ringkas negara miskin tertakluk kepada sekatan pintar supaya ia tidak dapat menembusi pasaran negara kaya,” katanya.

Dalam nada sinis, Dr Mahathir berkata: "Golongan yang prihatin ini lupa bahawa boikot mereka itu menafikan beribu-ribu orang daripada memperoleh peluang pekerjaan dan menikmati hidup  yang memuaskan”.

Perdana Menteri menafikan dakwaan itu dengan menyatakan kira-kira 48 peratus hutan Malaysia kekal sebagai hutan dara.

‘Meskipun globalisasi sememangnya membawa manfaat kepada kita, kesannya telah terbukti  menjadi ancaman kepada kebebasan negara kecil.

”Malah kita tidak boleh bercakap atau bergerak ke sana sini tanpa suara atau pergerakan kita dirakamkan dan seringkali ia digunakan untuk menentang kita. Data mengenai setiap orang dirakamkan dan didagangkan oleh negara kuasa besar dan kumpulan mereka,” katanya. – Bernama