PUTRAJAYA - Kerajaan memutuskan tiada kenaikan kadar tol bagi semua kelas kenderaan bagi 21 lebuh raya pada tahun depan.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata, pembekuan kenaikan kadar tol melibatkan implikasi kewangan kerajaan berjumlah RM994.43 juta.

Menurutnya, pada 12 Disember lalu, Kabinet telah bersetuju membekukan kenaikan kadar tol bagi semua kelas kenderaan di 21 lebuh raya seluruh negara yang tolnya layak dinaikkan pada 2019.

“Ia adalah satu penambahbaikan ketara kepada pengumuman Belanjawan 2019 yang hanya membekukan semua kenaikan kadar tol di lebuh raya dalam bandar saja untuk tahun depan.

“Implikasi kewangan itu membabitkan pembekuan kenaikan kadar tol merangkumi 21 lebuh raya; kadar tol bagi bas di lapan lebuh raya berasingan dan pemansuhan tol motosikal di Jambatan Pulau Pinang (Jambatan Pertama Pulau Pinang), Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (Jambatan Kedua Pulau Pinang) serta di Lebuhraya Laluan Kedua di Johor,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kerajaan menganggarkan pembekuan kadar tol bagi semua kelas kenderaan di 21 lebuh raya membabitkan kos bayaran pampasan sekitar RM972.75 juta kepada syarikat konsesi lebuh raya.

“Manakala, pemansuhan tol motosikal di Jambatan Pulau Pinang, Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah dan Lebuhraya Laluan Kedua di Johor pula membabitkan bayaran pampasan sebanyak RM20 juta setahun,” katanya.