PUTRAJAYA - Beberapa hari sebelum ditutup secara rasmi, Tabung Harapan Malaysia (THM) telah mencapai angka melebihi RM200 juta.

Menurut Kementerian Kewangan Malaysia, jumlah terkumpul setakat jam 3 petang hari ini adalah sebanyak RM200,032,580.24.

Melalui laman Facebook rasmi, kementerian turut mengucapkan tahniah kepada rakyat Malaysia.

Selepas dilancarkan pada 30 Mei lepas oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, tabung berkenaan akan ditutup secara rasminya pada 31 Disember ini.

Tabung itu diperkenalkan selepas kerajaan mendakwa BN telah meninggalkan hutang melebihi RM1 trilion selepas pentadbiran kerajaan bertukar tangan.