SERANG - BANTEN. Salah sebuah kenderaan yang membawa sukarelawan Misi Bantuan Kecemasan Tsunami Selat Sunda Serantau Muslim kemalangan ketika dalam perjalanan pulang ke Jakarta.

Dalam kejadian jam 1.10 pagi waktu tempatan, kenderaan dipandu sukarelawan dari Indonesia itu terbabas sebelum terbalik di Kilometer 53 berdekatan Plaza Tol Serang arah Tangerang.

Kereta jenis MPV itu dinaiki Duta Serantau Muslim, Dai Afiqah; kakitangan Serantau Muslim, Fazliatul Ain serta wartawan Sinar Harian dan wartawan TV Alhijrah bersama dua sukarelawan Indonesia.

Dua lagi kenderaan membawa sukarelawan Indonesia serta ketua misi, Shamsul Anwar M.Busra bersama seorang lagi kakitangan Serantau Muslim dan jurukamera TV Alhijrah berpatah balik sebaik dimaklumkan tentang kemalangan tersebut.

Pasangan suami isteri yang juga sukarelawan baru selesai mengagihkan bantuan di Banten kebetulan dari arah belakang melihat kejadian itu dan terus menghubungi ambulans.

Kesemuanya dibenarkan keluar hospital selepas menerima rawatan di sebuah hospital  berhampiran.

Sebelum itu, sukarelawan Malaysia baru menamatkan misi penyerahan bantuan mangsa tsunami di Banten.

Kumpulan ini terpaksa menamatkan misi bantuan sehari lebih awal daripada jadual susulan perkembangan terkini amaran status gunung berapi Anak Krakatau.

Kali ini, Serantau Muslim mengagihkan bantuan berjumlah RM10,000 kepada mangsa tsunami dan banjir di sekitar kawasan Pandeglang, Banten.

Orang ramai yang ingin turut menyumbang kepada mangsa tsunami di Selat Sunda boleh layari bantuankecemasan.com.