TAHUN 2018 menyaksikan pelbagai peristiwa menggemparkan, menarik, gembira, sedih bahkan kejam menghiasi akhbar Sinar Harian sepanjang tahun. Maka, pelbagai Laporan Khas disediakan bagi menyajikan variasi menarik kepada pembaca.

Sebagai salah sebuah akhbar berpengaruh di Malaysia, Sinar Harian menghasilkan beberapa siri Laporan Khas sepanjang 2018, merungkaikan pelbagai simpulan, mencerahkan segala kegelapan dan meleraikan segala kekusutan demi pembaca setia.

Ayuh, singkap kembali satu demi satu laporan khas yang pernah diterbitkan akhbar ini dalam edisi khas Sorotan Laporan Khas Sinar Harian 2018 yang disediakan Raziatul Hanum A Rajak dan Ridauddin Daud.

 

14 JUN 2018

35,000 warga Indonesia mudik lebaran

SERAMAI 35,000 warga Indonesia pulang ke kampung halaman untuk meraikan Syawal melalui Jeti Asa Niaga Harbour City di Pelabuhan Klang.

Kawasan jeti mula dibanjiri warga Indonesia kira-kira seminggu sebelum sambutan perayaan Aidilfitri malah ada yang sanggup bermalam di jeti untuk membeli tiket feri.

Rata-rata merupakan pekerja buruh binaan di pelbagai negeri yang mendapat cuti sekitar dua minggu untuk bersama keluarga sempena Aidilfitri.

 

18 Jun 2018

Kisah anak syurga Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah

MENJELANG Aidilfitri, Sinar Harian menyelami perasaan salah seorang ibu mangsa yang terkorban dalam tragedi menyayat hati di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah.

Norhayati Khalid berkongsi cerita di sebalik surat terakhir anak kesayangannya, Amiel Asyraaf Abd Rashid yang tersebar dan celoteh anak syurga itu setiap kali bulan Ramadan juga Syawal tiba.

Manakala Pengetua tahfiz tersebut, Mohd Zahid Mahmood akui tidak dapat memilih mana-mana perkataan untuk menggambarkan perasaannya apabila bangunan tahfiz diuruskan sejak 16 tahun lalu itu dibakar hingga meragut nyawa 21 pelajar dan dua gurunya.

 

12 Julai 2018

Siapa Ketua Pembangkang?

TEKA-teki siapa Ketua Pembangkang terus menjadi persoalan selepas kerajaan 61 tahun, BN tumbang pada PRU14 lalu.

Antara Pas atau Umno siapa pemimpin yang akan dipilih sebagai Ketua Pembangkang? Pas merasakan Umno lebih layak dan menyerahkannya kepada parti Melayu itu.

Antara nama yang disebut-sebut sebagai calon paling sesuai ialah Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

 

25 Julai 2018

Trend jaket terbalik

JIKA diamati sebaiknya, kebanyakan penunggang motosikal di Malaysia memakai jaket sewaktu menunggang motorsikal namun lazimnya ia dipakai secara terbalik sekaligus menimbulkan persoalan adakah ia mendatangkan bahaya kepada penunggang.

Sinar Harian mengupas isu tersebut dan turut mendapatkan kenyataan Ahli Majlis Keselamatan Jalan Raya, Tan Sri Lee Lam Thye yang mendedahkan 68 peratus kemalangan maut di Malaysia melibatkan penunggang motosikal.

Justeru, katanya, sikap lebih baik dan positif ketika berada di jalan raya adalah  faktor menyumbang keselamatan lebih terjamin. Dalam artikel itu juga, pelawak terkenal, Achey turut berkongsikan kisahnya dengan jaket terbalik.

Bagi Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shaa’ri berkata, pemakaian jaket terbalik memungkinkan risiko tersangkut di kendraan lain ketika penunggang motosikal mencelah di jalan raya.

 

30 Julai 2018

Lagu patriotik lama masih berbisa

DISENARAIKAN 10 lagu patriotik terbaik yang menjadi nostalgia buat semua lapisan masyarakat terutama yang lahir pada era 80-an dan 90-an.

Malah sehingga ke hari ini semua lagu-lagu itu masih menjadi siulan termasuk anak-anak kecil.

Jelas terbukti bahawa lagu patriotik dahulu mempunyai aura tersendiri sekaligus mengukuhkan lagi rasa cinta rakyat terhadap negara.

 

5 Ogos 2018

Bantuan untuk mak nyah

BERDASARKAN kajian, dianggarkan kira-kira 80 peratus golongan mak nyah di Malaysia terlibat dalam industri seks dan kerajaan bersikap terbuka untuk membantu mereka keluar daripada dunia hitam itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof menyatakan matlamat kerajaan adalah untuk membawa kumpulan mak nyah kembali kepada fitrah semulajadi dan meninggalkan kehidupan songsang.

Sinar Harian turut mendapatkan golongan itu untuk mengetahui pandangan mereka. Selain itu, antara cadangan dilontarkan adalah mewujudkan program kerohanuan dan mempelbagaikan bentuk bantuan.

 

17 Ogos 2018

Janji 100 hari PH

DALAM manifesto PH ketika PRU14, antara janji dibuat adalah melaksanakan 10 perkara dalam tempoh 100 hari selepas PH mengambil alih pentadbiran negara namun ketika hampir 100 hari, masih banyak janji tidak tertunai.

Isu tersebut dibincangkan secara meluas dalam media sosial dan dunia nyata. Sinar Harian mengambil pendekatan berilmiah dengan menyiarkan lima halaman liputan penuh dengan tajuk utama ‘Janji 100 hari gagal?’.

Dalam laporan khas tersebut, disenaraikan 10 janji di mana tiga daripadanya dianggap berjaya dilaksanakan manakala tujuh lagi gagal dilaksanakan, ada di antaranya memerlukan lebih masa untuk diselesaikan.

 

1 September 2018

SST ganti GST

TARIKH 1 September 2018 pastinya tercatit dalam lipatan sejarah negara. Pada hari itulah sistem cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang diperkenalkan pada 1 April 2015 digantikan dengan sistem percukaian baru iaitu cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

Sebelum ia dilaksanakan, pelbagai polemik timbul. Ada mengatakan harga barang akan naik, ada juga mengatakan sebaliknya namun yang paling risau adalah rakyat kerana merekalah yang akan terkesan dengan sebarang pengenalan cukai baru dari kerajaan.

Melalui laporan khas wartawan Sinar Harian, rakyat mengharapkan SST akan jauh lebih baik dari GST sekaligus menurunkan kos sara hidup rakyat yang kian tersepit saban tahun.

 

16 September 2018

Kanser pembunuh senyap

PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO) menunjukkan satu daripada enam kematian di dunia adalah disebabkan kanser sekaligus menjadikan kanser sebagai penyumbang kedua kematian terbesar di dunia.

Dianggarkan, setiap tahun lebih 8.8 juta orang di seluruh dunia maut disebabkan kanser terutamanya di negara yang berpendapatan sederhana dan rendah termasuklah di Malaysia.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menasihatkan masyarakat melakukan saringan kanser aringan kesihatan yang lain secara berkala selain  mengamalkan cara hidup sihat.

 

7 Oktober 2018

Wajarkah tahfiz ditutup?

RENTETAN berlakunya beberapa kes gangguan seksual terhadap pelajar tahfiz, muncul desakan meminta sekolah berkenaan ditutup kerana ada pihak menganggap ia tidak selamat untuk kanak-kanak di sana.

Begitupun, desakan itu dibantah ramai pihak yang beranggapan sekolah tahfiz banyak melahirkan pelajar cemerlang dalam agama Islam dan kes sedemikian tidak harus dijadikan asbab mendesak pusat tahfiz ditutup.

Malah, Presiden Persatuan Institusi Tahfiz al-Quran Kebangsaan (Pinta), Mohd Zahid Mahmood mempersoalkan mengapa pihak berkenaan hanya menonjolkan kes berlaku di tahfiz sedangkan ia turut berlaku di tempat lain.