SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mendakwa pemansuhan Skim Pengecualian Bayaran Bil Elektrik RM20 oleh kerajaan PH bermula Januari tahun depan bakal memberi kesan besar kepada rakyat di negara ini.

Katanya, ini kerana skim yang diperkenalkan ketika beliau menjawat jawatan Menteri Kewangan pada 2008 memberi manfaat kepada 1.2 juta isi rumah berbanding hanya 185,000 menerusi Program Rebat Bil Elektrik RM40 PH.

Jelasnya, apa yang diperkenalkan oleh kerajaan hari ini bukan untuk golongan B40 seperti yang dilaporkan sebilangan media tempatan sebaliknya hanya untuk mereka yang berdaftar dengan sistem e-Kasih sahaja.

"Di bawah kerajaan BN, lebih dari 1.2 juta isi rumah tidak perlu membayar satu sen setiap bulan jika penggunaan elektrik mereka tidak sampai RM20 sebulan. Skim tersebut dimansuhkan oleh kerajaan PH bermula 1 Januari 2019 dan diganti dengan program rebat baharu di mana hanya 185,000 isi rumah akan mendapat manfaat.

"Tetapi ini bukan untuk golongan B40 seperti yang dilapor oleh sebilangan media tempatan. Mustahil untuk jumlah isi rumah B40 hanya 185,000 sahaja. Sebenarnya, skim rebat RM40 kerajaan PH ini dihadkan kepada 185,000 isi rumah yang berdaftar dengan sistem e-Kasih sahaja, iaitu isi rumah yang pendapatan bulanan mereka kurang dari RM1,500 (bandar) atau RM1,000 (luar bandar)," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) dalam satu kenyataan menyatakan sebanyak 185,000 isi rumah miskin tegar dan miskin akan menikmati rebat elektrik berjumlah RM40 di bawah Program Rebat Bil Elektrik RM40 bermula 1 Januari ini.

Katanya, program itu adalah bantuan kerajaan secara bersasar khusus kepada keluarga miskin tegar dan miskin yang berdaftar dan disahkan dalam sistem e-Kasih, seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2019.

Menurutnya, ia adalah program baharu yang diperkenalkan kerajaan bermula 1 Januari hingga 31 Disember 2019, bagi menggantikan Skim Pengecualian Bayaran Bil Elektrik RM20 yang tamat pada bulan ini.

Mengulas lanjut, Najib berkata, lebih 1 juta isi rumah yang sebelum ini tidak perlu membayar apa-apa akan mula membayar bil elektrik bermula minggu depan.

"Mereka berkorban (ataupun sudah terkorban) untuk negara seperti disaran oleh kerajaan PH," katanya.