KUALA NERUS - Petronas menerusi Badan Kebajikan Islam Petronas (Bakip) menyumbangkan kira-kira RM900,000 bagi pembelian barangan kelengkapan persekolahan kepada pelajar asnaf di enam wilayah termasuk Pantai Timur tahun ini.

Pengurus Besar Petronas Pantai Timur Datuk Wan Mohd Hasnan Abdullah berkata daripada jumlah itu sebahagian diagihkan kepada 1,200 penerima dari Kelantan, Terengganu dan Pahang.

“Sumbangan ini adalah hasil kerjasama Petronas dan Pusat Zakat Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur bagi meringankan beban keluarga yang kurang berkemampuan dalam menyediakan kelengkapan persekolahan anak-anak mereka.

“Jumlah sumbangan yang kita berikan untuk membiayai program ini pula bergantung kepada jumlah zakat yang dikeluarkan oleh petugas Petronas. Kebiasaannya jumlah penerima dan agihan sumbangan adalah sama setiap tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Pembelian Barangan Sekolah ‘Kembali Ke Sekolah’ Dun Tepoh di Pasaraya Besar Mydin Mall, Gong Badak di sini, hari ini, yang turut dihadiri Adun Tepoh, Hishamuddin Abdul Karim.

Seramai 100 anak asnaf Dun itu yang terdiri daripada keluarga yang berpendapatan rendah, anak yatim, serta anak yang tidak mempunyai bapa menerima baucar bernilai RM150 tiap seorang untuk pembelian kelengkapan persekolahan seperti pakaian seragam dan alat tulis di pasaraya itu.

Sementara itu, Hishamuddin berkata 100 penerima itu adalah antara mereka yang tercicir daripada menerima bantuan yang telah diberikan kerajaan negeri sebelum ini.

“Kita sangat menghargai sumbangan yang diberikan Petronas, satu badan korporat yang sangat dekat di hati rakyat.

“Menerusi program Tanggungjawab Sosial Korporat hari ini terbukti Petronas amat memberi keutamaan dalam bidang pendidikan bagi membina modal insan untuk kemajuan negara dan negeri ini,” katanya. - Bernama