SHAH ALAM - Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) menegaskan bahawa Malaysia tidak mengimport tepung protein darah babi dari China bagi kegunaan pemperosesan makanan haiwan di dalam negara.

Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Datuk Dr Quaza Nizamuddin Hassan Nizam berkata, selain itu juga  DVS telah mengeluarkan arahan larangan pengimportan babi hidup dan produk sejuk beku babi sejak  18 September 2018.

"Ini disebabkan kejadian penyakit AFS yang berlaku di negara China," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian merujuk laporan akhbar The Asian Age bertarikh 25 Disember 2018 yang menyatakan pihak berkuasa China telah mengesan virus African Swine Fever (ASF) dalam tepung protein yang dihasilkan dari darah babi yang digunakan dalam penghasilan makanan haiwan di Huizhou, Guangdong,China.