SHAH ALAM - Peningkatan yuran taman asuhan kanak-kanak (Taska) yang berlaku setiap tahun perlu dipantau kerajaan agar ia tidak membebankan orang ramai.

Timbalan Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Mohd Yusof Abdul Rahman berkata, walaupun yuran taska swasta tidak dibawah kawalan kerajaan, namun perlu ada dasar khas agar pengusaha taman asuhan itu tidak menaikkan kadar yuran sesuka hati.

Menurutnya, kenaikkan kadar yuran taska memang tidak dapat dielakkan namun pemantauan perlu ada agar ia tidak meningkat terlalu tinggi sehingga membebanan ibu bapa yang menghantar anak mereka ke taman asuhan.

“Dalam masa yang sama, kerajaan juga perlu berterusan memberi galakkan dan kesedaran kepada majikan samaada agensi kerajaan mahupun swasta untuk membuka taska di tempat kerja bagi mengatasi masalah penjagaan anak ketika bekerja.

“Perkara ini mampu mengelakkan pekerja mereka terus terbeban dengan yuran taska dan dalam masa yang sama boleh menyumbang kepada produktiviti dalam bekerja,” katanya kepada Sinar Harian.

Mohd Yusof berkata, dalam kebanyakan pengusaha taska yang mahu menaikkan kadar yuran, tidak dinafikan masih ada taska yang mengekalkan kadar yuran lama.

“Namun kebiasaannya, kadar yuran dikenakan adalah berdasarkan perkhidmatan serta kemudahan yang disediakan oleh sesebuah taska.

"Semakin banyak yang ditawarkan oleh sesebuah taska, harga yuran yang dikenakan juga semakin meningkat.

“Ibu bapa perlu meneliti sebaiknya perkara itu, membuat perbandingan dan mereka sebenarnya boleh membuat pilihan," katanya.

Mohd Yusof menambah, taska yang disediakan kerajaan seperti Kemas terbukti mengenakan kadar yuran yang sangat berpatutan.

"Malah perkhidmatan yang diberikan taska kerajaan ini juga sejajar dengan pendidikan awal kanak-kanak semasa.

"Ini memberi pilihan yang lebih banyak kepada ibu bapa dan sesuatu yang utama juga, kerajaan dari masa ke semasa wajar menambah bilangan taska di kawasan tumpuan bagi memenuhi keperluan semasa,” katanya lagi.