SHAH ALAM -  Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia mempersoalkan keputusan Peguam Negara, Tommy Thomas mengadakan inkues bagi menentukan sebab kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim yang terbunuh semasa rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman.

Presidennya, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, keputusan dibuat seolah-olah memberi gambaran bahawa beliau masih keliru dengan punca kematian Muhammad Adib sedangkan, telah berdasarkan laporan perubatan dan bedah siasat dibuat dan kertas siasatan yang dibuka oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengklasifikasikannya sebagai kes bunuh.

Menurutnya, proses inkues bakal mengambil masa kerana majistret secara inquisitorial mempunyai kuasa luas meneliti sebab kematian Muhammad Adib termasuk memanggil semua pihak terlibat yang dijangkakan menjangkau puluhan orang.  

"Oleh kerana proses ini mungkin mengambil masa ia menimbulkan kebimbangan terhadap empat orang yang sedang disiasat oleh polis.

"Walaupun polis telah mengklasifikasi semula kes ini di bawah seskyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh setelah kematian Muhammad Adib tiada tindakan segera diambil polis atau Peguam Negara untuk menangkap atau menuduh dibawah seksyen 302 tersebut," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan Thomas akan mengarahkan majistret untuk membuat inkues bagi menentukan sebab kematian Muhammad Adib.

Katanya, beliau dimaklumkan sendiri Thomas hasil perbincangan yang diadakan selepas penemuan dapatan tertentu polis menerusi rakaman percakapan saksi, lakonan semula dan hasil bedah siasat pihak forensik patalogi yang hanya boleh didedahkan di mahkamah kelak.

Mengulas lanjut, Zainul berkata, apa yang lebih menggusarkan adalah keempat-empat individu yang disiasat telah dilepaskan atas jaminan polis dan bukan jaminan daripada mahkamah.

"Oleh itu orang yang disiasat bebas ke mana sahaja mereka mahu tanpa sekatan. Sekiranya polis atau Peguam Negara berpandangan pihak sedang disiasat itu tiada kaitan dengan kesalahan yang disiasat kenapa pula mereka dilepaskan dengan jaminan polis, seharusnya mereka dilepaskan sepenuhnya.

"Kami berpendapat, tidak perlu untuk mengadakan inkues kerana akan melengah-lengahkan keadilan buat keluarga mangsa sahaja.

"Kami meminta polis segera menyempurnakan kertas siasatan dan Peguam Negara membuat keputusan cepat mendakwa pihak yang terbabit. Bukan semua kes yang disiasat dibawah seskyen 302 Kanun Keseksaan memerlukan keputusan inkues terlebih dahulu sebelum pendakwaan dapat dilakukan," katanya.

Jelasnya, oleh kerana polis telah mengklasifikasi semula kes ini di bawah seksyen 302 Kanun Keseksaan, maka wajar polis menangkap semula dan mendapatkan tahanan reman kepada mereka yang sedang disiasat.

"Ini bagi mengelakkan proses undang-undang digagalkan melainkan polis berpendapat mereka  tidak melakukan kesalahan tersebut dan memberikan justifikasi agar ia menjadi telus. Meskipun begitu polis dan Peguam Negara perlu menjelaskan di mana keberadaan orang yang disiasat dan status siasatan tersebut," katanya.

Zainul berkata lagi, pihaknya mendesak Peguam Negara memberikan penjelasan terperinci kenapa tiada pendakwaan dilakukan dibawah seksyen 302 kanun keseksaan setakat ini dan kenapa pula inkues dijalankan kerana orang awam tidak mempunyai akses kepada siasatan.

"Masyarakat perlu tahu sama ada siasatan masih belum lengkap atau terdapat elemen lain yang boleh menjadikan pendakwaan gagal," katanya.

Selain itu beliau turut mempersoalkan tindakan pihak yang meminta perlindungan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) untuk masuk campur di dalam siasatan polis dan meminta siasatan bebas dilakukan.

"Adakah ini bermakna polis sudah tidak menjalankan siasatan dengan bebas sehingga perlu diadakan siasatan lain? Hal ini selari dengan kenyataan seorang menteri yang menyalahkan pihak polis dalam insiden ini suatu ketika dahulu," katanya.

Beliau turut menyarankan keluarga Muhammad Adib untuk mencari alternatif lain untuk mengambil tindakan terhadap pihak berkaitan melalui undang-undang tort di mahkamah sivil bagi mendapatkan keadilan.