PUTRAJAYA - Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tiba untuk memberi keterangan di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya jam 1.54 petang tadi.

Beliau yang berpakaian suit biru tiba menaiki sebuah kereta Audi berwarna kelabu dan terus masuk ke pejabat SPRM.

Najib diminta hadir untuk memberi keterangan berhubung kes pembayaran hutang dana pelaburan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kepada International Petroleum Investment Co. (Ipic).

Sebelum ini Najib beberapa kali dipanggil untuk memberi keterangan bagi melengkapkan siasatan SPRM.

Najib telah didakwa di mahkamah atas 32 pertuduhan.

Pada 4 Julai lepas, beliau mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap tiga pertuduhan pecah amanah (CBT) dan satu pertuduhan salah guna kuasa membabitkan dana berjumlah RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Pada 8 Ogos lepas, Najib didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tiga pertuduhan menerima wang berjumlah RM42 juta hasil daripada aktiviti haram milik dana SRC International Sdn Bhd, dalam 2 akaun miliknya, 4 tahun lepas.

Pada 20 September pula, Najib didakwa atas 21 pertuduhan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Amlatfa) dan 4 pertuduhan di bawah Seksyen 23(1) Akta SPRM.