SEPANG - NGO Serantau Muslim akui Misi Bantuan Kecemasan Tsunami Selat Sunda berisiko susulan amaran tsunami kedua yang dilaporkan.

Namun Ketua misi ini, Shamsul Anwar M.Busra berkata, pihaknya telah mengambil langkah keselamatan dengan pihak NGO tempatan berhubung perkara tersebut.

"Kita dimaklumkan bahawa dijangka akan berlaku lagi tsunami susulan. Insya-ALAH kita telah berhubung dengan NGO tempatan sebagai persediaan sekiranya berlaku tsunami kedua.

"Sekiranya dimaklumkan ada tempat-tempat berisiko kita akan dapatkan khidmat nasihat rakan NGO di sana dahulu," katanya.

Difahamkan misi kali ini lebih kepada membina 'networking' bersama pihak terlibat selain mengenal pasti keperluan mangsa di kelima-lima pusat penempatan sementara.

Misi yang disertai tujuh orang termasuk tiga pengamal media dari Sinar Harian dan TV Alhijrah berlepas pagi ini menuju ke Jakarta sebelum bergerak ke Banten.

Sementara, Pengurus Besar Serantau Muslim, Mohd Hakim Mohd Nor berkata, pihaknya menyediakan 300 bungkusan makanan, selimut dan pemanas mini dengan dana RM10,000.

"Saya berharap rakyat Malaysia dapat membantu kami agar misi kita berjaya dan kita dapat menyampaikan bantuan diperlukan mangsa tsunami di Selat Sunda ini.

"Kami sarankan sumbangan dalam bentuk kewangan ke bantuankecemasan.com kerana kita ada masalah dari segi logistik," katanya.