KOTA TINGGI - Mesyuarat Malaysia-Singapore Joint Ministerial Committee (JMC) akan diadakan antara Malaysia dengan Singapura pada 15 atau 16 Januari tahun depan.

Mesyuarat yang diadakan di Singapura itu akan membincangkan beberapa isu, termasuk isu ruang udara dan sempadan maritim .

Menteri Besar, Datuk Osman Sapian berkata, Kerajaan Johor turut terlibat pada mesyuarat tersebut dan dijangka akan dihadiri Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah serta Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Bagaimanapun katanya, maklumat berkaitan pihak yang akan mempengerusikan mesyuarat tersebut masih belum diperoleh.

"Mungkin pada ketika itu kita akan menimbulkan salah satu isu itu dan berbincang dan di situ kita akan buat ketetapan. Kita juga akan rujuk balik kepada Kerajaan Persekutuan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai sama ada Kerajaan Johor akan terlibat atau tidak pada JMC berkenaan.

Terdahulu, pada 5 Disember lalu Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia mengemukakan dua nota bantahan.

Pertama berkaitan penyiaran tatacara Sistem Pendaratan Instrumen (ILS) dan Prosedur Merapati ILS di Lapangan Terbang Seletar, Singapura pada 1 Disember lalu.

Nota kedua pula berkaitan isu penentuan sempadan maritim antara Malaysia dan Singapura termasuk had pelabuhan Johor Bahru.

Republik itu turut mendakwa Malaysia menceroboh Perairan Singapura di sekitar Tuas untuk memperluaskan had pelabuhan Johor Bahru.