KUALA LUMPUR - Sebuah pasukan khas terdiri daripada beberapa badan bukan kerajaan (NGO) giat mengumpul bukti kekecohan di Kuil Sri Maha Mariamman pada 26 dan 27 November lalu bagi membantu polis menyiasat insiden tersebut.

Wakil komuniti, A Elangovan berkata, saksi terutama penduduk yang mempunyai bukti boleh menghubunginya dengan jaminan maklumat peribadi dirahsiakan berikutan ramai tidak berani tampil mendedahkan bukti kerana bimbang dikenakan tindakan.

"Ini yang berlaku sebelum ini apabila pihak yang berkongsi dan muat naik gambar, rakaman video yang tersebar di media sosial dipanggil untuk diambil keterangan dan ada juga ditahan.

"Saksi boleh bagi bahan bukti kepada saya di talian 017-2991724. Saya akan serahkan kepada polis dan sedia bertanggungjawab," katanya.

Beliau berkata demikian selepas bersama beberapa wakil pasukan khas di pejabat Suhakam menyampaikan memorandum meminta siasatan persendirian serangan di kuil itu dan kematian Allahyarham Pegawai Bomba (PB) Muhammad Adib Mohd Kassim dibentuk.

Memorandum itu diserahkan kepada Pengerusi Suhakam, Tan Sri Razali Ismail.

Dalam masa sama, beliau meminta rakyat Malaysia tidak terus menjadikan insiden tersebut sebagai isu perkauman yang mengganggu-gugat perpaduan.

"Saya berada di kuil ketika kejadian tapi tiada di tempat Adib dipukul dan masih tunggu keputusan akhir kejadian daripada polis. Jangan ada pihak yang mengeruhkan lagi keadaan dengan bangkitkan kata-kata berbaur perkauman," katanya.

Katanya, pasukan khas dibentuk dengan harapan kes kematian Adib dan serangan di kuil disiasat sama adil.