KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menjawab persoalan ramai mengapa bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tidak memakai baju oren dan bergari ketika proses pertuduhan di mahkamah.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata, pemakaian baju oren dan bergari untuk suspek kes rasuah adalah tertakluk kepada budi bicara pegawai penyiasat.

Beliau berkata, sekiranya mendatangkan kemudaratan, barulah suspek akan dipakaikan baju oren dan digari.

“Bukan Najib sahaja yang tidak pakai (baju oren dan gari). Ramai lagi yang tidak pakai. Orang bertanya mengapa. Ia adalah kuasa budi bicara penyiasatan.

“Sekiranya pegawai penyiasat merasakan suspek perlu pakai baju oren, bergari, ia bergantung kepada aspek kemudaratan. Sekiranya ia mendatangkan kemudaratan, maka ia perlu,” katanya dalam temubual bersama Bernama Radio, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan seorang pendengar dari Sabah yang bertanyakan mengapa Najib tidak memakai baju oren sama seperti orang kena tuduh lain ketika dituduh di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas kessalahan rasuah, baru-baru ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: Najib tidak mengaku salah 25 pertuduhan]

[ARTIKEL BERKAITAN: Najib didakwa tiga pertuduhan pecah amanah, satu kes rasuah]

Khamis lalu, Najib mengaku tidak bersalah terhadap 25 pertuduhan iaitu empat pertuduhan rasuah dan 21 pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram membabitkan sejumlah hampir RM2.3 bilion.

Bagi kesalahan rasuah, dakwaan dibuat mengikut Seksyen 24(1) Akta SPRM manakala 21 lagi pertuduhan tersebut adalah mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (Amlatfa) 2001 dengan cara menerima, menggunakan dan memindahkan wang hasil daripada aktiviti haram.

Pertuduhan tersebut merupakan pertuduhan ketiga Najib di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur selepas BN tewas dalam PRU14 lalu.