SEPANJANG tahun ini, pelbagai kisah menerjah minda rakyat Malaysia. Sedih, pilu, tragedi, gembira, kejutan, kecaman, cukup segala rencah menyempurnakan tahun 2018 yang pastinya mencoret sejarah tersendiri.

Penghujung 2018, rakyat sibuk dengan urusan masing-masing. Ada menguruskan persekolahan anak-anak, ada bercuti, melepas lelah seketika, ada juga sibuk dengan kerjaya malah tidak kurang juga mengenangkan azam yang tidak tercapai tahun ini.

Di sebalik kesibukan, masih ramai cakna dengan senario dalam negara. Buktinya, laman sosial hari ini dipenuhi madah pujangga, kadangkala diselit kesusasteraan dan pastinya, tidak menolak tepi bait ‘kekanda adinda’.

Benar, ku tak bohong (petikan lagu popular).

Hari ini, kekanda dan adinda kembali popular bukan kerana adanya kempen cintai, hargai kesusasteraan Melayu, bukan juga kerana filem-filem lama. Bukan, bukan itu sebabnya.

Dek kerana ‘Warkah dari Cordova untuk Nurul Izzah’, bersemaraklah penggunaan ‘panggilan cinta’ itu. Warkah titipan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof buat Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar pantas tular di laman sosial.

Ternyata, tindakan Ahli Parlimen Parit Buntar itu membahasakan dirinya sebagai ‘kekanda’ dan Nurul Izzah pula sebagai ‘adinda’ berjaya mencuit, mencuri perhatian netizen.

Dek kerana ‘Warkah dari Cordova’ jugalah, berbondong-bondong usikan menghiasi laman sosial. Turut sama menyambut peluang depan mata, mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Namun, Mujahid kekal tenang meskipun disindir kiri, kanan, atas dan bawah. Tidak sedikit pun beliau melatah bahkan mengakui terhibur membaca komen netizen.

“Seronok saya membaca komen-komen berkisar warkah saya kepada YB Nurul Izzah. Saya sengaja memilih lenggok bahasa begitu untuk menyampaikan mesej saya kali ini.

“Ternyata istilah kekanda adinda lebih menarik perhatian semua. Terima kasih atas teguran semua. Namun saya mohon dibaca serta dihayati isi kandungannya,” katanya di laman Facebook beliau.

Najib dalam laman Facebook beliau juga sempat mengusik Mujahid, katanya itu adalah ‘drama’. Dengan bersahaja, Ahli Parlimen Pekan itu memuat naik status berbaur sindiran, sesuatu yang bukan asing buat beliau sejak kebelakangan ini.

"Dah berapa malam tak tidur? Kalau masih tidak boleh tidur, bacalah doa mohon kepada ALLAH untuk mudah tidur dan tenang," katanya.

Meskipun satu Malaysia kecoh dengan kisah ‘kekanda, adinda’ namun sayangnya ‘adinda’ tidak pula bersuara, hanya membisu, tiada langsung respons dari beliau.

Puteri Reformasi itu masih membisu dari memberikan sebarang komen. Sinar Harian yang cuba mendapatkan komen atau reaksi beliau melalui panggilan telefon dan aplikasi WhatsApp juga tidak mendapat sebarang jawapan.

Malah, hasil carian di laman Facebook rasmi dan Twitter Nurul Izzah juga mendapati bekas Naib Presiden PKR itu tidak memuat naik sebarang status berkaitan warkah panjang dari ‘kekanda’.

Menjelang 2019, tidak keterlaluan jika mengklasifikasikan kisah warkah tersebut sebagai ‘hiburan netizen di hujung 2018’.

Berbaki lima hari sebelum menyambut pertambahan usia kita, mungkinkah akan ada ‘hiburan’ baru buat rakyat Malaysia? Sama-sama kita nantikan…