KUALA LUMPUR — Kerajaan menyediakan pengecualian cukai pendapatan sebanyak 100 peratus bagi tempoh lima tahun kepada syarikat yang menjalankan aktiviti yang layak dalam taman perindustrian, tetapi tidak dimanfaatkan, kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Katanya, pada pembentangan Bajet 2015, kerajaan memperkenalkan insentif pengurusan kawasan perindustrian bertujuan membentuk ekosistem yang menyokong pembangunan industri di Malaysia.

“Insentif ini diberikan kepada syarikat yang membuat permohonan kepada Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida) bagi tempoh 1 Januari 2015 hingga 31 Disember 2017,” kata Lim pada sesi soal jawab di persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Ahmad Faizal Datuk Azumu (PH-Tambun) yang menanyakan sama ada kerajaan pusat akan memperkenalkan insentif cukai bagi pemaju kawasan perindustrian.

“Bagaimanapun, sehingga tarikh tamat permohonan pengecualian cukai berkenaan, tiada sebarang permohonan diterima Mida untuk diberi pertimbangan walaupun kriteria kelayakan insentif ini dilonggarkan,” katanya.- Bernama