KUALA LUMPUR - Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy terus didesak meletakkan jawatan.

Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Annuar Musa berkata, Waytha Moorthy perlu berbuat demikian demi kebaikan semua.

"Tidak perlu tunggu Perdana Menteri gugurkan kerana Tun Mahathir Mohamad tidak suka berbuat demikian kecuali terpaksa.

"Anda membantu Perdana Menteri dengan berundur sendiri kerana anda tidak lagi sesuai di posisi itu," katanya di Twitter hari ini.

Nama Waytha Moorthy kembali hangat susulan kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim, Isnin lalu selepas cedera dipukul dalam rusuhan di kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya.

Netizen mendakwa Waytha Moorthy gagal memainkan peranan sebagai menteri perpaduan dalam isu rusuhan kuil tersebut.

Susulan itu, pelbagai pihak sama ada dalam kerajaan mahupun pembangkang mendesak agar Waytha Moorthy meletakkan jawatan segera.

Antaranya ialah Armada Bersatu yang menyerahkan memorandum kepada Dr Mahathir agar memecat Waytha Moorthy.

Satu himpunan turut diadakan di Putrajaya semalam bagi menggesa pemecatan Waytha Moorthy serta Menteri Sumber Manusia, M Kula Segaran dan Exco Selangor, V Ganabatirau.