SHAH ALAM - Surat terbuka 'Warkah dari Cordova untuk Nurul Izzah' yang ditulis Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof semalam turut mendapat perhatian bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Dalam perkongsian di Facebook peribadinya hari ini, Najib dilihat menyindir Mujahid yang dikatakan tidak boleh tidur kerana bimbangkan keadaan Nurul Izzah Anwar, susulan keputusannya meletakkan jawatan sebagai Naib Presiden PKR dan Pengerusi PKR Pulau Pinang.

Beliau menyifatkan petikan ayat; "Kekanda tidak boleh tidur kerana bimbangkan keadaan adinda" dalam warkah itu sebagai drama.

"Dah berapa malam tak tidur?

"Kalau masih tidak boleh tidur, bacalah doa mohon kepada ALLAH untuk mudah tidur dan tenang," katanya.

Semalam, Mujahid yang dalam perjalanan dari Cordova ke Madrid, Sepanyol menulis surat terbuka kepada Nurul Izzah di Facebook miliknya.

Dalam warkah 25 perenggan itu, Mujahid membahasakan dirinya sebagai kekanda, manakala memanggil Nurul Izzah sebagai adinda.