KUALA TERENGGANU – Pertambahan peratusan Belanjawan 2019 bagi Kementerian Kewangan iaitu sebanyak 79 peratus manakala Kementerian Pengangkutan pula sebanyak 26.5 peratus menimbulkan tanda tanya.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim berkata, perbezaan bajet kali ini begitu ketara berbanding peruntukan diberikan pada 2018.

“Peruntukan di bawah Kementerian Kewangan disebabkan kemasukan ‘refund tax’ yang sebahagian besar manfaatnya dinikmati oleh golongan pengilang manakala bagi Kementerian Pengangkutan disebabkan peruntukan tambahan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).

“Jika diukur, kita di Terengganu tak ada keretapi, Transit Aliran Ringan (LRT) atau Rapid KL, sepatutnya tol LPT 2 diberi insentif penurunan.

“Kerajaan pula belum pulangkan wang Terengganu sebanyak RM1.6 bilion iaitu sebahagian kos pembinaan LPT2 yang sepatutnya dibiayai sepenuhnya oleh Persekutuan,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau mendakwa, kementerian yang mempunyai kepentingan terhadap golongan bumiputera sebaliknya mengalami penurunan yang tinggi.

“Peruntukan bagi Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani juga menurun sebanyak 13.7 peratus, Kementerian Industri Utama pula tiada peruntukan langsung untuk bantuan musim tengkujuh bagi pekebun kecil dan penoreh getah.

“Bajet 2018 ada juga peruntukan sebanyak RM261 juta untuk penoreh getah dan pekebun kecil yang terpaksa berdepan cabaran musim tengkujuh, tetapi, Belanjawan 2019 pula tiada langsung peruntukan daripada kerajaan PH untuk itu,” katanya.