SHAH ALAM - Penyanyi yang popular dengan lagu Janji Manismu, Wan Aishah Wan Ariffin berazam mahu memberi tumpuan kepada kerja amal dan khidmat sosial.

Menurutnya, perkara tersebut telah dilakukan lama dan mahu lebih cenderung ke arah itu tahun hadapan dengan memanfaatkan media sosial.

"Saya mungkin boleh membantu persatuan atau badan kebajikan mempromosikan program mereka bagi mengutip dana dan terlibat sama turun padang dengan mereka.

"Saya akan guna populariti saya untuk bantu perkara kebajikan," katanya.

Aishah juga menyatakan bahawa penyanyi popular, Datuk Seri Siti Nurhaliza antara contoh terbaik selebriti yang dapat menyeimbang antara kerjaya, peniagaan dan khidmat sosialnya kepada masyarakat.

Beliau berkata demikian ketika Wacana Sinar Ilmuan bersama Majlis Profesor Negara (MPN) bertajuk Selebriti Malaysia: Antara Glamor dan Sumbangan Sosial di Karangkraf hari ini.

Dalam pada itu, Aishah juga memberitahu, selaku individu yang popular, dia melalui banyak ranjau antaranya disenarai hitam dari bersiaran di televisyen kerana terlibat dengan politik dan mewakili pembangkang.

"Saya pernah di senarai hitam selama enam ke tujuh tahun tapi saya tak menyesal melalui pengalaman itu malah terlibat dalam politik adalah sebagai satu tanggungjawab yang perlu dipikul.

"Tapi saya tak nafikan, saya calon yang paling happy (gembira) apabila tidak menang (PRU13), sebab untuk jadi pemimpin ia memerlukan satu pengorbanan besar," katanya.

Aishah memberitahu, walaupun melalui pengalaman disenarai hitam, dia masih lagi aktif dalam bidang seni sehinggalah berjaya menjadi johan sebuah rancangan nyanyian pada tahun 2017.