KUALA LUMPUR - Seramai 425 warga Malaysia dikesan ditahan pihak berkuasa di 19 buah negara sejak 2013 kerana menjadi keldai dadah.

Ketua Penolong Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Zulkifli Ali berkata, jumlah itu merupakan angka paling baharu diterima sehingga Oktober tahun ini dan antara negara yang mencatatkan  bilangan tertinggi  keldai dadah Malaysia dalam tahanan ialah Singapura, iaitu seramai 175 orang.

Ini diikuti Indonesia seramai 85 orang, Thailand 49 orang, selain Australia 34 orang, dan Jepun 21 orang.

“Negara-negara Amerika Latin seperti Argentina, Brazil masing-masing menyaksikan dua warga  Malaysia, dan Peru seorang dalam tahanan.

Zulkifli bagaimanapun berkata, berlaku penurunan jumlah tangkapan warga Malaysia di luar negara atas sebab menjadi keldai dadah.

“Pada 2016, direkodkan seramai 101 warga tempatan ditahan, 58 pada 2017 dan tahun ini, sehingga Oktober hanya 39 orang,” katanya kepada Bernama.

Zulkifli berkata, penurunan itu berpunca daripada tekanan penguatkuasaan pihak berkuasa terutama PDRM terhadap sindiket-sindiket dengan sentiasa melakukan operasi khas dalam usaha membanteras jenayah berat ini.

Untuk mengelak daripada dihidu pihak berkuasa, sebuah sindiket yang didalangi warga Nigeria  menggunakan media sosial untuk mencari mangsa mereka.

“Mereka (sindiket) menggunakan teknologi komunikasi tanpa sempadan masa kini melalui aplikasi media sosial seperti Facebook, Whatsapp, Wechat dan sebagainya dalam menjalankan kegiatan penyeludupan dadah.

“Ini khususnya dalam merekrut keldai dadah secara maya bagi mengelak aktiviti mereka dikesan oleh pihak berkuasa,” katanya.

Tambahnya, sindiket antarabangsa yang dipelopori oleh warga Afrika ini merekrut dan mengupah rakyat Malaysia khususnya wanita dengan cara membiayai penerbangan mereka untuk melancong ke negara-negara tertentu.

Mereka diberi wang saku RM2,000 sebagai pendahuluan dan dijanjikan ganjaran antara RM5,000 dan RM10,000 jika berjaya dalam misi mereka.  

Tawaran pakej pelancongan luar negara secara percuma dan janji cinta sejati telah berjaya "mencairkan” hati segelintir wanita tempatan yang terdesak sehingga sanggup menjadi "keldai dadah”.  

Zulkifli berkata sindiket ini akan menghantar wanita-wanita tempatan melancong ke luar negara dan kembali ke tanah air dengan membawa pulang bagasi mengandungi bahan terlarang itu.

Menurutnya, mangsa akan diminta mengambil dadah di negara tertentu dan seterusnya menyeludup dadah itu ke destinasi yang telah ditetapkan seperti Thailand, Jepun, dan Taiwan dengan menggunakan taktik penyeludupan melalui bagasi.

“Ia merupakan jalan mudah bagi mereka mendapatkan wang. Kewangan menjadi faktor untuk mereka lakukan jenayah ini meskipun mereka sendiri tahu akan risiko dan kesalahan yang mereka lakukan.

“Mangsa sama ada yang telah dikahwini atau belum, akan diberi percubaan pertama membawa dadah dan jikalau berjaya, wanita-wanita ini juga akan merekrut rakan-rakan mereka yang lain bagi tujuan yang sama,”  katanya.

Melalui risikan, Zulkifli berkata warganegara Nigeria dipercayai menjadi dalang utama dalam mengumpan wanita tempatan dan kebanyakan sindiket ini berpusat di beberapa buah negara antaranya Malaysia, Thailand, Filipina, Indonesia dan China.

Anggota sindiket ini masuk ke Malaysia menggunakan pas pelajar atau visa perniagaan untuk menjalin hubungan dengan wanita tempatan serta menabur janji manis bagi memenangi hati wanita-wanita ini sehingga  ke tahap mengahwini mereka.

Sementara itu, Zulkifli berkata rakyat Malaysia turut terlibat dalam penyeludupan dadah seperti syabu ke luar negara menggunakan taktik penyeludupan secara ‘body packed’ (bahan dilekatkan di anggota badan).

“Pada 30 November lepas, dua rakyat tempatan ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA 2) kerana dipercayai cuba menyeludup 4.2 kilogram dadah disyaki syabu ke Korea Selatan menggunakan taktik penyeludupan ‘body packed’ dan wang tunai dianggarkan 250,000 won (RM932.34) dirampas.

“Selain itu, pada bulan yang sama, dua rakyat tempatan ditahan di KLIA2 dengan rampasan dianggarkan sebanyak 1 kilogram syabu yang dipercayai cuba diseludup ke Korea Selatan menggunakan taktik yang sama dan wang tunai sejumlah 285,000 won (RM1,062.87) dirampas,” katanya.- Bernama