PORT DICKSON - Selepas enam bulan dipercayai aktif menjalankan kegiatan samun dan pecah rumah di daerah ini, geng Dini akhirnya tumpas apabila tiga ahlinya termasuk ketua ditahan minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, hasil risikan dan maklumat awam, semua suspek berusia 36 dan 22 tahun itu ditahan di daerah ini dan Seremban.

"Penahanan suspek dibuat susulan kes samun di Taman Green View, Pasir Panjang minggu lalu yang melibatkan seorang warga emas kerugian RM6,000.

"Susulan itu, polis menjalankan operasi khas bagi mengesan suspek dan selepas dua hari berjaya menahan mereka di dua lokasi berasingan pada 20 dan 21 Disember lalu," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Port Dickson di sini, hari ini.

Menurutnya, polis turut merampas beberapa barangan kemas, tiga kereta, sebuah motosikal, lapan penghawa dingin dan dadah jenis syabu seberat 9.6 gram yang keseluruhan bernilai RM100,000.

“Siasatan lanjut mendapati, kegiatan jenayah diketuai suspek berusia 22 tahun dikenali sebagai Dini bertujuan untuk mendapatkan wang bagi membeli dadah. Modus operandi ialah bergerak secara berkumpulan dan melakukan jenayah jika ada peluang.

"Hasil barangan yang dirompak akan dijual bagi mendapatkan wang yang kemudian digunakan untuk beli dadah. Turut dirampas ialah peralatan pecah rumah seperti pedang dan pemutar skru," katanya.

Aidi Sham berkata, suspek yang masing-masing bekerja sebagai pengawal keselamatan, bekerja sendiri dan penganggur juga didapati positif dadah jenis syabu ketika ditahan.

“Semakan mendapati, kesemua suspek juga mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau berkaitan kes dadah, samun dan curi kenderaan.

"Dengan penahanan suspek, kita percaya sudah berjaya menyelesaikan satu kes samun, enam kes pecah rumah dan satu kes curi kenderaan di daerah ini," katanya.