KLANG - Seorang warga emas tergamak mengkhianati kepercayaan bapa kepada seorang murid darjah satu dengan mencabul kanak-kanak itu di dalam kereta di sebuah lorong dekat sini, Jun lalu.

Pesara kerajaan yang berusia 62 tahun itu diupah ibu bapa kanak-kanak berkenaan untuk menghantar dan mengambil anak mereka di sebuah sekolah setiap hari, mengaku melakukan kesalahan itu ketika dalam perjalanan pulang ke rumah, jam 1.30 petang pada 6 Jun lepas.

Selepas melakukan perbuatan terkutuk itu, lelaki itu kemudiannya menghantar mangsa ke rumah.

Fakta itu diakui oleh tertuduh selepas membuat pengakuan bersalah pada hari pertama perbicaraan kes di Mahkamah Sesyen Klang hari ini.

Terdahulu, lelaki yang memiliki sembilan anak dan tujuh cucu itu, mengaku terhadap pertuduhan melakukan amang seksual dengan meraba dada, memegang, mencium kemaluan mangsa.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 14(1)(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Timbalan Pendakwa Raya, Syed Farid Syed Ali dalam hujahannya memohon agar mahkamah mengenakan hukuman berat memandangkan perbuatan lelaki itu telah meninggalkan kesan trauma seumur hidup terhadap mangsa yang masih kecil.

"Hukuman yang berat dapat mencerminkan keseriusan kesalahan tertuduh sekali gus sebagai amaran keras kepada masyarakat agar tidak melakukan perbuatan yang sama kepada mana-mana kanak-kanak," katanya.

Hakim M Kunasundary menjatuhkan hukuman lima tahun penjara dan dua sebatan selain diletakkan di bawah pengawasan polis selama dua tahun selepas selesai menjalani hukuman pemenjaraan.

Isteri dan ahli keluarga lelaki itu kelihatan menangis selepas mahkamah berhenti bersidang.