PETALING JAYA - Selepas sepasang kekasih didakwa atas pertuduhan membunuh lelaki warga Bangladesh pada Isnin lepas, tiga lagi lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan sama.

Mereka ialah Muhammad Safuan Mat Saad, 21, Amirul Aiman Azman dan Muhammad Khairil Shahnaz, masing-masing berusia 20 tahun.

Tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada ketiga-tiga tertuduh selepas pertuduhan ke atas mereka dibacakan secara bersama di hadapan Majistret Nor Ariffin Hisham kerana kes bunuh adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Selepas tamat prosiding, lebih 30 anggota keluarga dan rakan ketiga-tiga tertuduh menangis sambil memeluk mereka di dalam kandang tertuduh.

Keadaan itu menyebabkan suasana di galeri awam mahkamah menjadi penuh emosi sehingga polis mahkamah menenangkan keluarga tertuduh yang masing-masing gagal mengawal perasaan.

Mengikut pertuduhan, mereka bersama dua lagi yang telah dituduh dengan niat bersama, membunuh seorang lelaki bernama Jamal di Pangsapuri Mentari Court, Bandar Sunway, antara 6 dan 7 pagi, 3 Disember lepas. Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Alia Sumayyah Amran tidak menawarkan sebarang jaminan kerana kesalahan itu adalah kesalahan yang tidak boleh dijamin manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

"Saya mohon tarikh 25 Januari untuk tarikh sebutan akan datang, bersamaan dengan tarikh kedua-dua tertuduh bagi kes sama sebelum ini," katanya.

Mahkamah tidak membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin dan menetapkan 25 Jan depan untuk sebutan semula kes.

Difahamkan, kejadian berpunca daripada warga asing itu yang didakwa cuba mencabul salah seorang penduduk di pangsapuri itu.- Bernama