KUALA TERENGGANU - Meskipun dua bulan lalu sudah dikenakan hukuman denda RM2,900 kerana kesalahan judi nombor ekor, seorang lelaki tidak pernah serik apabila sekali lagi dihadapkan ke  Mahkamah Rendah Syariah Kuala Terengganu hari ini atas kesalahan sama.

Bagaimanapun, untuk kesalahan kali kedua ini lelaki berusia 61 tahun dari Kampung Losong Masjid, di sini, yang dilihat tidak pernah terkesan dengan hukuman dijatuhkan sebelum ini dikenakan hukuman denda maksimum RM3,000 dan sebulan penjara.

Tidak cukup dengan itu, lelaki yang juga seorang peniaga turut berdepan hukuman sebulan penjara lagi sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan.

Hakim Syarie membuat keputusan itu selepas dia mengaku salah bermain judi nombor ekor di sebuah premis di Jalan Petani, di sini, lebih kurang jam 6 petang, pada 26 September lalu.

Dia mengaku menjalankan aktiviti tidak bermoral itu selepas dicekup dalam satu serbuan berwaran.

Sementara itu, di mahkamah sama, seorang duda dikenakan denda RM2,800 atau diperintahkan dua bulan penjara sekiranya gagal menjelaskan denda selepas mengaku salah melakukan kesalahan sama.

Duda berusia 50 tahun itu melakukan aktiviti bermain judi nombor ekor selepas ditahan di sebuah premis di Jalan Banggol, di sini, lebih kurang jam 6.35 petang, pada 26 September lalu.

Semasa serbuan dilakukan, dia yang beralamat dari Manir, di sini, ditahan selepas pihak berkuasa menemui enam keping kertas nombor ramalan yang disorokkan di dalam dompet.

Dengan itu, kedua-dua mereka mengaku salah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 22(1) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) ( Terengganu) dan boleh dihukum di bawah Seksyen sama kerana berjudi.

Pendakwaan kesemua kes dikendalikan oleh Pendakwa Syarie Khanurulhajja Mustafar di hadapan Hakim Syarie Mohd Fakhruddin Yusof.