SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Ahli perniagaan, Muhammad Sajjad Kamaruzaman didenda RM2,700 oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam selepas mengaku bersalah terhadap tiga pertuduhan gagal mengemukakan penyata GST.

Keputusan itu dibuat Hakim Rofiah Mohamad dan memerintah Muhammad Sajjad atau lebih dikenali sebagai Nur Sajad menjalani hukuman penjara enam minggu sekiranya gagal membayar denda itu.

Berdasarkan pertuduhan pertama hingga ketiga, Nur Sajad,33, mengaku gagal mengemukakan penyata kepada Ketua Pengarah Kastam Diraja Malaysia mengikut cara yang ditetapkan iaitu tidak lewat dari hari terakhir bulan berikutnya selepas berakhirnya tempoh bercukai 1 April hingga 30 Jun 2015 dan 1 Oktober hingga 31 Disember 2015 serta 1 Januari 2016 hingga 31 Mac 2016 sebagaimana ditetapkan di bawah Seksyen 41(1) Akta Cukai Barang dan Perkhdimatan 2014.

Kesalahan itu dilakukan di Kompleks Kastam Kuala Lumpur, Kelana Jaya pada 22 Oktober 2015 hingga 16 Jun 2016.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 41(6) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Pegawai Pendakwa Kastam Noor Asyikin Md Rodi mencadangkan hukuman setimpal agar menjadi pengajaran kepada masyarakat.

Sajad yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah meringankan hukuman atas alasan tidak mempunyai pengetahuan mengenai GST.

"Saya akui kesalahan dan memohon maaf," katanya.

Pelatun lagu Bobo di mana itu selesai membayar denda jam 12.30 tengahari.

Terdahulu, Sajad kelihatan terkejut dengan kehadiran pihak media yang membuat liputan terhadap kesnya.

Dia tiba jam 9.25 pagi memakai blaus merah dan berkasut tumit tinggi ditemani pekerjanya.

Pada awal prosiding tersebut, Sajad gagal mengemukakan pengenalan diri termasuk MyKad ketika diminta diminta oleh mahkamah.

"Saya tertinggal ic (MyKad) sebab baru balik dari luar negara," katanya.

Bagaimanapun prosiding diteruskan apabila pihak pendakwa menyerahkan salinan MyKad lelaki itu kepada mahkamah.