PETALING JAYA- Seorang pengawal keselamatan didenda RM5,000 atau lima bulan penjara oleh Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan mencederakan ibunya di kediaman mereka, Isnin lepas.

Majistret Nor Ariffin Hisham menjatuhkan hukuman itu terhadap Zainuddin Duriat, 35, selepas dia mengaku bersalah memukul Khalijah Mohd, 52, pada kaki kanan menggunakan rangka kerusi sebagai senjata.

 Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Kota Damansara, di sini pada 12 tengah malam, 17 Disember lepas. Dia dituduh mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 10 tahun atau denda jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Alia Sumayyah Amran memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal berbentuk pengajaran agar tertuduh tidak mengulangi kesilapan sama di masa akan datang.

Bagaimanapun, Zainuddin yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan dia tidak berkemampuan selain masih menanggung ibunya.- Bernama.