PETALING JAYA - Seorang anggota polis hari ini menafikan kandungan laporan polis yang dibuatnya bahawa pelakon dan pengarah Datuk Farid Kamil Zahari telah mengeluarkan kata-kata kesat dan menamparnya adalah rekaan semata-mata.

Konstabel Muhammad Nizam Jamaluddin, 24, juga tidak bersetuju dengan cadangan peguam Megat Syazlee Mokhtarom yang mewakili Farid, bahawa sekiranya perkataan yang dikeluarkan Farid terhadapnya bukan fakta penting, kenapa tidak dimasukkannya dalam laporan tangkapan polis yang dibuatnya terhadap pelakon itu.

Muhammad Nizam yang merupakan saksi pendakwaan kedua berkata demikian ketika pemeriksaan balas oleh peguam itu pada perbicaraan kes Farid yang menghadapi empat pertuduhan jenayah di Mahkamah Majistret di sini.

Merujuk kepada laporan polis yang dibuat Muhammad Nizam yang ketika kejadian bertugas sementara di Balai Polis Trafik Kota Damansara,  Megat Syazlee berkata tidak ada frasa di dalam laporan berkenaan yang menyatakan Farid telah mengeluarkan kata-kata "Polis jahat, polis bodoh" dan "Hang tau aku sapa?" terhadapnya.

Megat Syazlee: Ini laporan polis yang dibuat oleh kamu, betul?

Muhammad Nizam: Ya, betul.

Megat Syazlee: Ada atau tidak fakta mengenai "Hang tau aku sapa?" dan "Polis jahat, polis bodoh" di dalam laporan ini?

Muhammad Nizam: Tiada.

Megat Syazlee: Setuju dengan saya bahawa sekiranya perkataan tersebut merupakan fakta penting, ia perlu berada di dalam laporan kamu?

Muhammad Nizam: Tidak setuju

Muhammad juga Nizam tidak bersetuju dengan cadangan peguam itu bahawa kata-kata kesat yang dikeluarkan terhadapnya adalah tidak penting.

Bagaimanapun saksi itu  bersetuju dengan cadangan peguam itu bahawa tiada laporan tambahan yang dibuat olehnya untuk menambah fakta memaki hamun tersebut walaupun beliau boleh membuat laporan tambahan dengan memasukkan fakta yang tertinggal.

Muhammad Nizam tidak bersetuju dengan cadangan peguam itu bahawa  pernyataan "Hang tau aku sapa" dan "Polis jahat, polis bodoh" hanya wujud pada hari ini (di mahkamah) dan turut menafikan keterangannya mengenai pernyataan itu hanya direka-reka olehnya.

Ketika pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya Alia Sumayyah Amran, Muhammad Nizam mengakui tidak membuat laporan tambahan mengenai kata-kata kesat itu kerana berpendapat tiada keperluan untuknya membuat demikian.

Tambahnya lagi, beliau tidak bersetuju perkataan tersebut hanya wujud pada hari ini kerana ketika kejadian, hanya Farid sahaja yang bertindak agresif dan terjerit-jerit di dalam Balai Polis Trafik Kota Damansara mengeluarkan kata-kata tersebut.

Muhammad Nizam turut bersetuju bahawa tiada sebarang bukti fizikal yang menunjukkan dia telah ditampar oleh Farid kerana ketiadaan kamera litar tertutup (CCTV) di balai polis trafik tersebut selain gambarnya yang diambil tidak menunjukkan sebarang kesan lebam di pipi kirinya.

Pada 16 Januari lepas, Farid mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan iaitu dua pertuduhan mendatangkan cedera, menggunakan kekerasan jenayah dan berkelakuan tidak senonoh dengan mengeluarkan perkataan kurang sopan di Balai Polis Trafik Kota Damansara  pada 1 tengah hari,  11 Januari lepas.

Perbicaraan di hadapan Majistret Nor Ariffin Hisham bersambung 14 Januari 2019. - Bernama