KUALA TERENGGANU - Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, hari ini kerana cuba mencuri tiga ekor kerbau bernilai RM15,000.

Bagaimanapun tertuduh, Mohd Muslim Muda, 45, mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan terhadapnya mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan (KK)/Seksyen 511 KK dibacakan di hadapan Majistret Nurul Huda Akmal Mohamed.

Mengikut pertuduhan, Mohd Muslim didakwa cuba mencuri tiga ekor kerbau milik Ibrahim Ismail, 47, di kawasan semak Kampung Bukit Berangan, Tepoh, Kuala Nerus kira-kira jam 8.30 pagi pada 7 Disember lalu.

Bagi kesalahan itu, dia berdepan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Sejurus pengakuan tidak bersalah direkodkan, mahkamah menetapkan 30 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan turut membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin.

Sementara itu, di mahkamah sama, tertuduh bersama seorang rakannya, Nik Hasrol Afandi Nik Hasan, 29, berdepan satu lagi pertuduhan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata 1960.

Berdasarkan pertuduhan, kedua-duanya didakwa memiliki selaras senapang pam angin bersama sebatang paip besi dan plastik disalut pita pelekat di kawasan semak di Kampung Bukit Berangan, Tepoh, Kuala Nerus, jam 7.30 petang pada 7 Disember lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda tidak kurang sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Sejurus pengakuan tidak bersalah direkodkan, mahkamah menetapkan 30 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan turut membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,500 setiap seorang.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan L Rathna manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Sebelum ini, Sinar Harian ada melaporkan lima lelaki termasuk pembeli cuba mencuri kerbau namun tidak berjaya selepas lori yang mengangkut ternakan itu tersangkut dalam lumpur.