KUALA LUMPUR - Pasukan pembelaan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam kes SRC International Sdn Bhd gagal mendapatkan surat kebenaran bagi pelantikan ketua pendakwaan, Datuk Sulaiman Abdullah, setelah Mahkamah Tinggi hari ini memutuskan bahawa tiada keperluan undang-undang bagi pendakwaan berbuat demikian.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali dalam penghakimannya berkata instrumen perlantikan hanya perlu ditunjukkan kepada mahkamah dan bukan kepada tertuduh.

Mohd Nazlan berkata mahkamah maklum bahawa ada perkara yang kurang jelas mengenai perlantikan Sulaiman tetapi menegaskan bahawa Jabatan Peguam Negara telah mengeluarkan kenyataan media pada 31 Ogos.

"Kenyataan media yang tertera nama Peguam Negara (AG) Tommy Thomas yang menyatakan dengan jelas bahawa Sulaiman akan mengetuai kes ini.

"Saya menganggap permohonan ini tiada merit," kata hakim itu selepas menolak permohonan pembelaan supaya pendakwaan mengemukakan surat itu kepada mereka.

Mohd Nazlan berkata surat pelantikan diklasifikasikan mengikut Seksyen 16A Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972 dan tidak boleh dipersoal di mahkamah.

"Oleh itu, saya menolak permohonan ini," katanya selepas mendengar hujah yang dikemukakan oleh peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, yang mewakili Najib dan Sulaiman, yang dilantik sebagai Timbalan Pendakwa Raya Kanan oleh Jabatan Peguam Negara.

Muhammad Shafee turut memaklumkan mahkamah bahawa beliau akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan hari ini.

Terdahulu, Muhamamd Shafee dalam hujahnya mempersoalkan sama ada kenyataan media yang dikeluarkan oleh AG melantik Sulaiman untuk mengendalikan pendakwaan jenayah mencukupi memandangkan tiada tandatangan padanya.

Beliau juga berpendapat menjadi tugas pihak pendakwa mengemukakan surat kuasa atau surat pelantikan kepada mahkamah dan menambah bahawa dokumen itu merupakan prasyarat.

Sulaiman menegaskan bahawa pihak pendakwa tidak akan mengemukakan surat pelantikan itu kerana ia telah diklasifikasikan di bawah OSA.

"AG secara peribadi telah menjalankan pendakwaan sebelum ini dan menyatakan secara terbuka bahawa beliau menyerahkan kes itu kepada peguam, iaitu Sulaiman Abdullah," katanya.

Pada 26 November, pasukan pembelaan memfailkan permohonan untuk Sulaiman mengemukakan surat kebenaran pelantikan beliau sebagai ketua pendakwaan dalam kes Najib.

Najib, 65, yang berada di dalam kandang tertuduh kelihatan tenang sepanjang prosiding.

Pada 4 Julai, Ahli Parlimen Pekan itu didakwa dengan tiga pertuduhan melakukan pecah amanah dan satu pertuduhan menyalahguna jawatannya berhubung dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Pada 8 Ogos pula, beliau didakwa dengan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang sama milik dana SRC. - Bernama