KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak didakwa buat kali ketiga di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini.

Beliau bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap 25 pertuduhan termasuk empat pertuduhan rasuah dan 21 pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram membabitkan sejumlah hampir RM2.3 bilion.

Bagi kesalahan rasuah, dakwaan dibuat mengikut Seksyen 24(1) Akta SPRM manakala 21 lagi pertuduhan tersebut adalah mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (Amlatfa) 2001 dengan cara menerima, menggunakan dan memindahkan wang hasil daripada aktiviti haram.

Bekas Hakim Mahkamah Persekutuan yang juga seorang peguam, Datuk Seri Gopal Sri Ram mengetuai barisan pendakwaan.

Pihak pendakwaan turut dibarisi Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustaffa P. Kunyalam, Ahmad Akram Gharib,  Nadia Mohd Izhar dan T. Deepa Nair dan Aaron Abillash Paul Chelliah.

Sementara itu selain Muhammad Shafee Abdullah, barisan Peguam Najib terdiri daripada Farhan Read,  Harvinderjit Singh, Muhammad Farhan Muhammad Shafee, Rahmat Hazlan, Wan Aizuddin dan Sarah Abishegam.