KUALA LUMPUR - Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur sekali lagi menjadi tumpuan petugas media dari pelbagai agensi termasuk dalam dan luar negara.

Seawal jam 6 pagi lagi, pihak media sudah mula berkampung di luar pagar kompleks mahkamah bagi membuat liputan tiga kes pertuduhan melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung penggubahan wang haram berkaitan dana SRC International Sdn Bhd.

Pada jam 8.50 pagi, Najib kelihatan tenang saat melangkah masuk ke Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.

Segak bersut biru, Najib sempat melambaikan tangan kepada petugas media yang berkumpul sepanjang laluan masuk ke lobi mahkamah

Berbeza dengan prosiding yang lalu, Najib kali ini hadir tanpa ditemani isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor.

Kira-kira jam 9.10 pagi, kelibat tiga anaknya, Nooryana Najwa Najib, Norashman dan Nizar kelihatan tiba di mahkamah bagi mendengar pertuduhan kes tersebut.

Kes Najib kemudiannya dipindahkan ke tiga mahkamah berasingan iaitu mahkamah sesyen dan tinggi.

Beliau mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan yang dibacakan dan minta dibicarakan.

Beliau yang kelihatan tenang sepanjang pertuduhan dibacakan juga sempat membetulkan sebutan jurubahasa berkait jumlah dalam pertuduhan sebanyak dua kali.

Dalam sidang media, peguam bela Najib, Tan Sri Muhamad Shafee Abdullah menyifatkan pihak pendakwa sebenarnya belum bersedia apabila anak guamnya hanya menerima 355 dokumen untuk pendakwaan, hari ini selepas diminta beberapa kali.

Beliau juga menegaskan pertuduhan hari ini tidak ada kaitan langsung dengan kapal layar mewah, Equaminity dan 1MDB.

[ ARTIKEL BERKAITAN: Najib mengaku tidak bersalah terima wang RM42 juta ]

Sementara itu, di kawasan pekarangan mahkamah, sekumpulan penyokong Najib diketuai Presiden Pemantau Malaysia Baharu, Datuk Lokman Noor Adam hadir sekitar jam 9 pagi.

Namun penyokong-penyokong itu tidak dibenarkan memasuki kawasan mahkamah dan mereka hanya kelihatan memasuki mahkamah sebelum Najib meninggalkan mahkamah.

Laungan 'Hidup Najib, Allahuakbar, lawan tetap lawan' turut kedengaran bagi mengiringi bekas Presiden Umno yang muncul di pintu utama ketika sidang media sedang berlangsung.

Najib juga sempat bersalaman dengan beberapa individu dan melambai kepada penyokong yang hadir sebelum memasuki kenderaannya pada jam 12.45 tengah hari.

Suasana pekarangan mahkamah kembali tenang sekitar jam 1.30 petang.