KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd. Irwan Serigar Abdullah masing-masing dibenarkan ikat jamin RM1 juta oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi enam pertuduhan pecah amanah wang milik Kerajaan berjumlah lebih RM6.6 bilion.

Hakim Azman Ahmad turut memerintahkan setiap tertuduh diikat jamin oleh dua penjamin dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Pada masa yang sama Azman turut mengeluarkan larangan supaya kedua-dua mereka  tidak mengganggu saksi pendakwaan kes ini.

Mahkamah juga memerintahkan Najib dan Mohd. Irwan membayar ikat jamin RM500,000 pada hari ini manakala baki selebihnya dilunaskan 10 hari bermula hari ini.

Mohd Irwan diiringi pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dijangka didakwa dengan enam pertuduhan pecah amanah melibatkan wang milik kerajaan Malaysia berjumlah RM6.6 bilion pada pagi ini di Mahkamah Sesyen hari ini. - Foto Bernama

[ARTIKEL BERKAITAN: Najib, Irwan dan Hasanah berdepan tuduhan pecah amanah]

[ARTIKEL BERKAITAN: Najib, Irwan mengaku tak salah pecah amanah RM6.6 bilion]

Terdahulu, bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Gopal Sri Ram yang mengetuai barisan pendakwaan memohon mahkamah mengenakan jaminan RM3 juta bagi setiap tertuduh.

Namun peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memohon supaya anak guamnya dikecualikan daripada membayar jaminan kerana beliau telah membayar sejumlah RM4.6 juta wang jaminan bagi keseluruhan kes lain sebelum ini.

Peguam Datuk Gheetam Ram Vincent pula memohon jaminan RM500,000 diberikan kepada anak guamnya.

Gopal Sri Ram bagaimanapun membantah permohonan Muhammad Shafee dan menegaskan, jaminan yang tinggi wajar diberikan kerama ia melibatkan kes yang serius.