KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak didakwa tiga pertuduhan pecah amanah dan satu pertuduhan rasuah membabitkan wang berjumlah keseluruhan RM42 juta.

Prosiding pendakwaan bermula jam 9.06 pagi dihadapan Datuk Zainal Abidin Kamarudin.

Tiada pengakuan daripada Najib kerana kes akan disebut semula di Mahkamah Tinggi untuk direkodkan pengakuan.

Bagi tiga pertuduhan pecah amanah, Najib selaku penjawat awam iaitu perdana menteri, menteri kewangan dan penasihat SRC  International didakwa melakukan pecah amanah wang berjumlah RM42 juta yang di Menara Ambank, Jalan Raja Chulan antara 24 Disember 2014 dan 29 Disember 2014.

Kesemua pertuduhan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan (akta 574) yang membawa hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum 20 tahun  dengan sebat dan denda.

[ ARTIKEL BERKAITAN: Najib Razak didakwa hari ini]

Beliau turut didakwa menggunakan jawatan sebagai Perdana menteri ketika itu  untuk suapan berjumlah RM42 juta ketika mengambil bahagian atau terlibat  membuat keputusan bagi pihak kerajaan Malaysia bagi pinjaman berjumlah RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) kepada SRC International.

Dakwaan bagi kesalahan itu dibuat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman denda sehingga lima kali jumlah suapan atau RM10,000 mana-mana lebih tinggi atau penjara maksimum 20 tahun.

Kesemua pertuduhan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan (akta 574) yang membawa hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum 20 tahun  dengan sebat dan denda.

Prosiding di Mahkamah Sesyen selesai sebelum dipindahkan ke Mahkamah Tinggi sebentar lagi.