MELAKA TENGAH - Seorang pekerja kilang wanita ditahan reman selama tiga hari bermula hari ini, bagi membantu siasatan berhubung kes penemuan janin bayi lelaki di sebuah tandas kilang pengeluar cip terkemuka di Batu Berendam pada Selasa lalu.

Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Majistret Melaka, Mohd Anuar Ostadi membenarkan permohonan polis untuk mereman wanita berusia 34 tahun itu hingga Ahad ini.

Wanita yang bekerja di kilang berkenaan disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, wanita itu ditahan selepas dikesan mendapatkan rawatan di wad bersalin Hospital Melaka kira-kira jam 5 petang pada Rabu lalu.

Sinar Harian sebelum ini menyiarkan seorang pekerja penyelenggara terkejut selepas menemui satu janin dipercayai bayi lelaki baharu berusia enam bulan terlekat di dalam lubang tandas wanita di kilang berkenaan.

Bayi cukup sifat seberat 450 gram itu ditemui ketika individu tersebut melakukan kerja-kerja membaiki tandas yang tersumbat di tingkat satu lebih kurang jam 10.30 pagi.